Tingkat Akses Vaksinasi Warga Asing, Pastikan Malaysia Sihat

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Ngo Sheau Shi

Menurut laporan Bernama bertarikh 2 September 2021, seorang wanita warga Myanmar berusia 27 tahun dipercayai menggunakan identiti orang lain untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di sebuah klinik di Melaka Tengah pada 18 Ogos 2021. Insiden itu seharusnya menjadi asas untuk kita menimbang kembali peranan dan tanggungjawab kita sebagai warga global dalam menangani pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Pakar saintis di seluruh dunia telah bersetuju bahawa pemberian vaksin kepada majoriti dalam sesebuah negara atau pada tahap global adalah penting untuk melindungi semua, tanpa mengira faktor-faktor luaran seperti perbezaan ras, gender atau kerakyatan kerana virus COVID-19 tidak memilih mangsanya.

Sehingga Ogos 2021, anggaran 5.3 bilion dos vaksin COVID-19 telah diberikan di seluruh dunia. Sebahagian besar vaksin yang diberi hanya tertumpu kepada mereka yang duduk di negara berpendapatan tinggi sedangkan banyak negara miskin menghadapi masalah kekurangan bekalan vaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah mengkritik sikap tamak negara maju yang membeli vaksin dalam kuantiti yang terlalu besar sehingga menjejaskan bekalan vaksin yang diperolehi oleh negara dunia sedang membangun seperti Malaysia.

Mari kita sama-sama meneliti konsep “keadilan vaksin” dalam perang wabak COVID-19 pada tahap global, dan juga dalam Malaysia.

Apa itu ‘keadilan vaksin’

Pada peringkat global, satu prinsip utama dalam perjuangan “keadilan vaksin” ialah mewujudkan satu mekanisme yang bersifat lestari bagi memperkasakan negara-negara berpendapatan sederhana dan miskin untuk meningkatkan keupayaan mereka bagi mobilisasi vaksinasi masyarakat di negara masing-masing.

Peranan negara maju sekurang-kurangnya boleh melonggarkan monopoli terhadap hak harta intelek bagi vaksin COVID-19 supaya pemindahan teknologi dari segi kapasiti penghasilan vaksin di negara-negara sedang membangun dapat dipermudahkan, dan seterusnya pengembangan kempen imunisasi di seluruh dunia dapat dipercepatkan demi kepentingan manusia sejagat.

Pada peringkat nasional, Malaysia perlu meningkatkan akses vaksin kepada semua penghuni di Malaysia tanpa mengira sama ada rakyat Malaysia, atau warga asing yang sah dan tidak sah.

Kebelakangan ini, autoriti Malaysia telah mengumumkan beberapa kemuduhan dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 supaya dapat melegakan sektor-sektor ekonomi tertentu terutamanya perniagaan, pelancongan, perusahaan kecil dan menengah, pembangunan serta kehidupan harian orang ramai.

Keputusan ini membawa bimbang kepada segelintir rakyat di Malaysia bahawa kelonggaran SOP ini akan memburukkan lagi keadaan wabak COVID-19 di tempat-tempat makan dan kerja. Selain daripada kebimbangan terhadap varian Delta yang mempunyai lebih 1,000 kali virus berkoloni di bahagian nasal dan saluran pernafasan manusia, salah satu faktor yang penting ialah program imunisasi nasional kita masih ada kekurangan kerana liputan warga yang telah menerima vaksinasi adalah tidak komprehensif.

Menurut ahli sains, virus COVID-19 tidak dapat membezakan warga negara seseorang individu dan rantai jangkitannya akan berlaku antara semua orang tanpa mengambilkira latar belakang warganegara, etnik, dan gender.

Dengan kata yang lain, kita tidak dapat melindungi penduduk Malaysia daripada rantaian jangkitan COVID-19 sekiranya masih terdapat ramai warga asing yang tidak divaksinasikan. Sudah menjadi satu hakiki warga asing juga menjadi kluster merebak jangkitan COVID-19 dalam masyarakat Malaysia.

Kluster warga asing dan strategi serampang dua mata

Jumlah warga asing yang berdaftar di Malaysia pada 2021 direkodkan seramai 2.69 juta orang atau 8.2 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Jumlah ini tidak termasuk warga asing tanpa dokumen lagi. Tindakan kerajaan untuk memberi vaksin secara percuma kepada warga asing perlu dipuji. Akan tetapi usaha perlu ditambah baik untuk memastikan program imunisasi itu turut mencakupi warga negara asing yang tidak sah yang selama ini hidup di negara ini.

Kerajaan perlu memberi jaminan supaya kelonggaran diberikan terutamanya kepada warga asing tanpa dokumen di Malaysia untuk mendapatkan vaksin dan kemudian diberi peluang untuk mendaftarkan secara rasmi sebagai warga perkerja asing yang sah.

Usaha ini akan menggalakkan pekerja asing tanpa dokumen memberi kerjasama yang maksimum untuk divaksinasikan dalam jangka masa terdekat. Hal ini juga akan memberi keyakinan kepada majikan tempatan untuk memutihkan pekerja mereka yang tidak sah. Apa yang kita hadapi sekarang adalah satu krisis yang luar biasa, maka ia memerlukan kaedah penyelesaian yang kreatif dan luar biasa.

Malaysia perlu menunjukkan kita bukan sahaja merupakan warga global yang memperjuangkan prinsip “keadilan vaksin” apabila ia membawa kepentingan kepada negara kita, tetapi kita juga mengamalkan prinsip tersebut dari segi dasar pengurusan dan pelaksanaan pemberian vaksin kepada semua penghuni yang berada di Malaysia pada saat krisis ini.

Kerajaan yang baru dilantik perlu memastikan pelaksanaan program imunisasi nasional yang seterusnya adalah berlandaskan sains dan bersifat kemanusiaan.

Ini merupakan ujian pertama untuk menilai kompetensi kerajaan baharu kita.

— BERNAMA

Dr Ngo Sheau Shi merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )