Tingkat liputan 4G di Sarawak, Julau antara kawasan tumpuan KKMM

Tingkat liputan 4G di Sarawak, Julau antara kawasan tumpuan KKMM

Kuala Lumpur: Beberapa rancangan naik taraf akses Internet di Sarawak telah diatur antaranya bagi meningkatkan kadar liputan rangkaian generasi keempat (4G) di negeri itu yang kini hanya berada pada tahap 80.84 peratus, lebih rendah berbanding tahap purata nasional iaitu 94 peratus.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Julau yang mempunyai liputan rangkaian 4G hanya pada tahap 27.34 peratus.

“Jadi terdapat kesenjangan yang besar antara Sarawak dan Julau apatah lagi di peringkat nasional,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (Bebas-Julau) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan dalam memastikan akses Internet dan telekomunikasi mampan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar, terutama di kawasan Parlimen Julau.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, antara perancangan kerajaan untuk kawasan Julau termasuk membina 47 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 38 stesen pemancar dengan tiga daripadanya sudah pun siap dan bakinya masih dilaksanakan.

Selain itu, Annuar berkata, premis tersedia gentian optik di kawasan itu akan ditingkatkan kepada 315 premis dengan 226 daripadanya telah siap.

Menurutnya, disebabkan lokasi Julau terletak dalam kawasan pedalaman yang menyukarkan pembinaan menara telekomunikasi, kerajaan turut merancang melaksanakan 46 projek bagi menyampaikan khidmat Internet melalui jalur lebar satelit.

Annuar berkata, pihaknya akan turut melaksanakan program Point of Presence (PoP) iaitu untuk menyalurkan fiber optik ke kawasan sekolah supaya mendapat akses Internet yang lebih stabil dengan sebanyak 35 sekolah terbabit di kawasan Julau dan akan dimulakan bulan depan.

“Diharapkan dapat siap sebelum akhir tahun hadapan supaya menjelang akhir tahun hadapan, di kawasan Yang Berhormat, liputannya adalah menjadi setara atau hampir setara dengan liputan nasional bagi kesemuanya mendapat liputan 4G ,” katanya.

Sementara itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) bangun mencelah memuji tindakan Annuar yang menjadi menteri pertama menyampaikan senarai projek pembangunan untuk setiap kawasan Parlimen.

“Saya harap menteri lain dapat lakukan perkara sama,” katanya.

-Dino

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)