Tingkatkan kebolehpasaran graduan Aswara – Nancy

Tingkatkan kebolehpasaran graduan Aswara – Nancy

KUALA LUMPUR,. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) perlu melihat isu kebolehpasaran graduan dengan lebih serius bagi memastikan graduannya menjadi penggiat seni yang kompetitif.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan berkata usaha itu juga dapat menjenamakan graduan Aswara sebagai graduan yang mempunyai kelainan dalam menghasilkan karya seni dan setanding dengan jenama antarabangsa.

“Aswara memainkan peranan besar dalam memperlihatkan kepentingan kesenian dan kebudayaan dalam pendidikan tinggi serta kehidupan masyarakat seharian.

“Justeru, usaha melahirkan pelajar yang cemerlang, mempunyai bakat luar biasa serta mampu menonjolkan faktor wow adalah sesuatu yang boleh difikirkan bersama,” katanya sempena majlis penyampaian watikah pelantikan tiga ahli lembaga pengarah Aswara baharu, hari ini.

Tiga ahli lembaga pengarah itu ialah penyanyi dan guru vokal Datuk Syafinaz Selamat, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli dan pelakon Zul Huzaimy Marzuki.

Nancy turut berharap Aswara sebagai sebuah institusi yang mendidik golongan muda mengenali seni, budaya dan warisan dapat terus memperkukuhkan agenda pembangunan akademik seni dan budaya serta melahirkan modal insan yang cemerlang.

Beliau juga mahu warga Aswara bersatu dalam meneroka peluang untuk melonjak lebih tinggi serta memastikan Aswara menjadi sebuah akademi yang sentiasa relevan dengan kehendak industri negara.

Dalam pada itu, beliau yakin gabungan ahli lembaga pengarah baharu Aswara, bersama pentadbiran sedia ada bakal memberi sentuhan luar biasa menerusi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman untuk terus membina kecemerlangan akademi itu.

“Kita sungguh bertuah kerana ketiga-tiga individu ini telah mencipta nama dalam bidang masing-masing dan merupakan ‘ikon’ dalam kesenian dan warisan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )