
Titah Adendum: USJT Bukit Aman Siasat Khairy
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang mendakwa dua menteri dalam Kerajaan Perpaduan menyembunyikan kebenaran berhubung Titah Adendum, kini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.
“Kes ini akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” ujar beliau ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan kes tersebut.
Tindakan Khairy yang mengeluarkan dakwaan itu menyebabkan dua laporan polis dibuat terhadapnya, berhubung kenyataannya mengenai dokumen yang didakwa mengandungi perintah membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Nor Azrina Surip, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. Laporan berkenaan dibuat secara berasingan di Putrajaya dan Sentul.
Laporan itu dibuat kerana kenyataan Khairy dilihat berniat jahat, menghina nama baik, mengelirukan rakyat, serta menimbulkan rasa tidak senang dan panik dalam kalangan masyarakat, yang berpotensi menggugat keamanan negara.
Kenyataan Khairy dalam program audio siar ‘Keluar Sekejap’, yang turut menggunakan perkataan ‘komplot’, dianggap keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika.