Titah Agong: Ahli politk perlu akur, jalankan tugas
KUALA LUMPUR, 25 Okt — Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak menjalankan tugas seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi hantaran Twitternya, beliau berkata usaha memerangi COVID-19 perlu ditingkatkan lagi walau mungkin terus diganggu dan politik terus tidak stabil.
“Menjunjung kasih atas keyakinan yang begitu tinggi SPB (Seri Paduka Baginda) Tuanku atas keupayaan yang telah dibuktikan kerajaan memerangi COVID-19,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara petang ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.
Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata sistem Raja Berperlembagaan di negara ini terbukti sebagai benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.
Dalam kenyataannya, beliau berkata rakyat pelbagai latar belakang berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak mengisytiharkan darurat selepas perbincangan khas raja-raja di Istana Negara hari ini.
Pada masa sama, Lim turut menyeru rakyat, terutamanya ahli Parlimen agar bersatu padu membentuk usaha yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat bagi memerangi gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Malaysia.
“Semua ahli-ahli Parlimen perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam berhadapan dengan COVID-19 ‘sekali dalam seabad’ ini.
“Perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama wabak ini,” katanya, menambah semua pihak perlu menggandakan usaha dalam mendatarkan lekuk penularan COVID-19.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi hantaran Twitternya pula berkata keputusan Al-Sultan Abdullah adalah keputusan yang tepat.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kelangsungan kemakmuran negara.
“Parti Amanah menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan akan menyokong segala usaha memerangi COVID-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” demikian menurut kenyataan di laman Facebooknya.
Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu inisiatif pendamaian nasional merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan perlu dimulakan.
Beliau berkata rakyat seharusnya menjadi keutamaan ketika ini dengan usaha bersungguh-sungguh perlu dijelmakan dalam mencari keseimbangan di antara mengurus wabak COVID-19 dan kehidupan ekonomi rakyat.
“Saya berharap seluruh kepimpinan politik merapatkan saf di semua peringkat dan seterusnya memberi tumpuan untuk sama-sama menangani penularan pandemik COVID-19 demi kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru kepimpinan politik perlulah benar-benar ikhlas dalam menjayakan cita-cita ini,” katanya dalam kenyataan.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan keputusan diambil Al-Sultan Abdullah itu sebagai satu ketetapan yang berlandaskan semangat perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan serta suara rakyat seperti yang disuarakan banyak pihak sebelum ini.
“Saya juga mengambil maklum nasihat Tuanku Agong agar pimpinan politik termasuk ahli Parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik, wajar dicermati dan dihayati.
“Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli Parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya
— BERNAMA