Titah Agong tepat pada waktunya, jadi panduan Ahli Parlimen – Rakyat

Titah Agong tepat pada waktunya, jadi panduan Ahli Parlimen – Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen di sini hari ini bertepatan pada waktu negara sedang menghadapi cabaran yang besar, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad dalam satu kenyataan berkata, ekonomi negara diancam pelbagai cabaran luar seperti perang dagang China-Amerika Syarikat, kejatuhan harga minyak, halangan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi sawit yang dikait dengan alam sekitar dan pandemik COVID-19.

“Kita perlu merancang dengan teliti untuk mengadakan pakej rangsangan khas tambahan bersepadu yang baharu, Belanjawan 2021 yang mantap dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang menyeluruh bagi membangkitkan semula ekonomi negara.

“Adalah perlu segera pemikir dan pembuat dasar duduk berunding untuk menghasilkan idea bernas bagi membina semula ekonomi rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Ahmad Maslan, yang juga ahli Parlimen Pontian, turut berkata titah ucapan Yang di-Pertuan Agong telah menjelaskan naratif politik semasa dan menuntut agar ahli Parlimen dan kerajaan menjiwai keluh kesah rakyat, berpegang kepada prinsip adil, berbudaya politik bersih dan matang agar dicontohi oleh rakyat.

“Saya menjunjung kasih atas nasihat yang sangat berguna itu dan akan mengamalkannya dalam khidmat sebagai ahli Parlimen dan Setiausaha Agung UMNO. Titah itu sangat tepat pada waktu negara sedang menghadapi cabaran yang besar ketika ini.

“Rakyat sedang mengalami kesukaran hidup berhadapan COVID-19. Maka itu perlu sangat ahli politik bertindak secara prihatin dengan situasi semasa dan tidak menambah kesukaran dengan perbuatan yang boleh menimbulkan ketidakstabilan pemerintahan,” menurut Ahmad.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)