TLDM usir 25 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara

TLDM usir 25 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara

KUALA LUMPUR,. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir 25 bot nelayan Indonesia yang didapati menceroboh masuk ke perairan negara kira-kira 52 batu nautika tenggara Pulau Perak, Kedah petang tadi.

TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengusiran itu dilakukan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa melalui Op Benteng Laut.

“KD Mahawangsa yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut telah menerima maklumat daripada Komander Komponen Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara.

“Sejurus menerima maklumat, KD Mahawangsa bergerak ke lokasi dan mendapati 25 bot nelayan yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengibarkan bendera Indonesia berada di perairan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut KD Mahawangsa telah mengambil tindakan mengusir kesemua bot nelayan asing terbabit keluar dari perairan negara dan melaksanakan rondaan di Selat Melaka Utara bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing.

Menurut TLDM, pihaknya sentiasa memperkasa Op Benteng bersama-sama agensi maritim lain di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan ( NTF) bagi memperkukuh sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang tanpa izin.

“Kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24 jam sehari adalah bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan mencegah penularan pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)