TM jalankan AGM secara maya, 14 resolusi diluluskan

TM jalankan AGM secara maya, 14 resolusi diluluskan

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Kumpulan Syarikat Telekom Malaysia Berhad (Kumpulan TM) hari ini berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-35 yang julung kali diadakan secara maya dengan 14 daripada 15 Resolusi Biasa dan satu Resolusi Khas yang telah diluluskan oleh pemegang saham.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam satu kenyataan berkata hampir 350 pemegang saham menyertai AGM yang dianjurkan sepenuhnya secara elektronik menerusi dalam talian.

Beliau menyifatkan AGM secara maya itu menggambarkan komitmen syarikat ke arah memastikan keselamatan dan kesihatan pemegang saham serta pihak berkepentingan dengan mematuhi garis panduan penjarakan sosial serta tidak menganjurkan perhimpunan ramai.

“Sejajar usaha semua menyesuaikan diri dengan norma baharu susulan penularan wabak global COVID-19, kami gembira kerana TM dapat menyempurnakan AGM yang julung kalinya diadakan secara dalam talian. Secara peribadi, ianya amat bermakna untuk saya kerana ini merupakan AGM pertama saya sebagai Pengerusi TM,” katanya.

AGM itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Razidan Ghazalli serta ahli-ahli Lembaga Pengarah TM.

Mohd Bakke berkata TM mencatatkan prestasi membanggakan pada 2019 menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan prestasinya, malah momentum positif itu berterusan ketika memasuki 2020.

Namun, penularan wabak global COVID-19 telah membawa cabaran-cabaran baharu bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga kepada TM, katanya.

Beliau berkata, sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi negara, TM sentiasa bersedia menyokong keperluan sambungan negara ketika tempoh tidak dijangkakan serta fasa selepas itu.

“Seiring peranan unik kami sebagai pemacu aspirasi Negara Digital Malaysia, kami komited untuk memastikan rangkaian kami sentiasa tersedia untuk para pelanggan agar mereka mampu kekal terhubung, produktif dan terus dilayani.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal teguh untuk mengekalkan keuntungan perniagaan kami dengan menumpukan (usaha) penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan menyesuaikan dengan cabaran-cabaran baharu susulan norma baharu,” katanya.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, TM berupaya menerbitkan Laporan Tahunan dan Kelestarian Bersepadu sepenuhnya bagi tahun ini yang turut dicetak dalam versi Bahasa Malaysia selain meluaskan jangkauannya menerusi rumusan laporan dalam empat bahasa – Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Semua laporan tersebut juga boleh dimuat turun menerusi laman sesawang rasmi tm.com.my.

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, TM berkata Datuk Zalekha Hassan, 67, telah bersara sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya berkuat kuasa hari ini.

Zalekha memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1977 sebagai Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Pembangunan Kerjaya Jabatan Perkhidmatan Awam dan seterusnya di pelbagai kementerian termasuk di Kementerian Kewangan (MOF) pada 1997 sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Belanjawan.

“Beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOF) sehingga bersara pada Mei 2011 dan kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Pemerolehan kementerian itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)