TNB gesa penggiat tenaga, sektor awam dan swasta bekerjasama ke arah masa depan mampan

TNB gesa penggiat tenaga, sektor awam dan swasta bekerjasama ke arah masa depan mampan

KUALA LUMPUR,. Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggesa penggiat tenaga serta sektor awam dan swasta di seluruh dunia untuk terus bekerjasama dan memanfaatkan amalan terbaik masing-masing dalam perjalanan ke arah masa depan yang mampan.

Bercakap pada ENLIT Europe 2022 di Frankfurt, Jerman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Baharin Din berkata tenaga telah menjadi pemacu transformasi yang terbesar dengan perubahan pesat di dunia.

Pada masa sama, katanya trilema antara ekuiti tenaga, alam sekitar dan keselamatan tenaga kekal sebagai cabaran terbesar dalam peralihan tenaga, menurut TNB dalam kenyataan semalam.

Baharin berkata bagi negara-negara membangun, teras sistem tenaga yang ideal kekal mengimbangi trilema tenaga, apabila akses kepada tenaga mampu milik dan jaminan bekalan menjadi penting.

“Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada antara tarif elektrik paling kompetitif di Asia Tenggara dan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) TNB ialah 45 minit yang kini setanding dengan negara-negara maju terbaik di dunia,” katanya.

Bagi TNB, katanya peralihan tenaga mewakili cabaran dan peluang. Cabarannya ialah keperluan untuk beralih dengan segera kepada dunia rendah karbon selain memenuhi jangkaan pemegang saham dan pihak berkepentingan TNB yang meningkat.

“Skala dan kelajuan peralihan tenaga adalah persoalan ekonomi. Oleh itu, kami percaya bahawa menguruskan cabaran ini akan memerlukan peralihan secara berperingkat.

“Kerajaan akan menjadi elemen penting dalam peralihan ini dengan membantu memperkenalkan skim dan dasar pembiayaan inovatif yang memudahkan peralihan dan mengurangkan risiko,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya ASEAN mengiktiraf kesalinghubungan yang kukuh antara negara-negara Eropah yang telah membawa kepada pelaksanaan beberapa nilai termasuk perkongsian sumber selain menguruskan kebolehubahan tenaga boleh baharu.

Merujuk kepada faedah penjimatan kos — terutamanya semasa krisis tenaga pada tahun ini, diraih oleh pengguna awal tenaga boleh baharu di Eropah sejak dua dekad lepas, katanya TNB telah bekerjasama dengan Grid Tenaga ASEAN serantau untuk mengukuhkan kesalinghubungan bagi mendapatkan kelebihan yang sama.

ENLIT Europe 2022 selama tiga hari yang berakhir pada 1 Dis merupakan perhimpunan pemimpin pemikiran, berwawasan, pegawai tertinggi dan pakar dalam industri tenaga.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 4,000 perwakilan daripada organisasi dan penggiat industri dari seluruh dunia yang berada dalam perjalanan peralihan tenaga yang sama untuk bekerjasama, berinovasi dan membincangkan isu-isu dalam sektor tenaga, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)