Tok Mat letak jawatan Presiden PSM

Tok Mat letak jawatan Presiden PSM

KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Ahmad Ismail telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkuat kuasa 12 tengah malam tadi.

Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang telah memegang tampuk kepimpinan PSM sejak 27 Dis 2002, berkata keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap konflik melanda badan induk sukan berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Pemimpin datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti, namun PSM harus dipertahankan, ini harapan saya,” katanya dalam satu program disiarkan Astro Arena, PM bersama AM, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ahli gabungan terhadap kerjasama baik diberikan mereka terhadap program atau kejohanan dianjurkan PSM selama ini termasuk Sepak Takraw League.

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada 20 Mei lepas menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta, selepas didapati bersalah ekoran tindakan Ahmad atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb lepas.

Tindakan Ahmad itu mengundang padah apabila difahamkan telah melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Terdahulu, Ahmad digantung selama 15 tahun daripada menyertai sebarang aktiviti sepak takraw bermula 6 Mei atas beberapa kesalahan berkaitan surat yang sama.

Lebih parah, setakat ini 11 ahli gabungan PSM telah menarik balik sokongan terhadap persatuan itu iaitu Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut menarik diri adalah Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )