Tokoh Peminjam Berinspirasi PTPTN kini bergelar usahawan berjaya

Tokoh Peminjam Berinspirasi PTPTN kini bergelar usahawan berjaya

KUALA LUMPUR,. Keperitan hidupnya sehingga terpaksa meminjam wang daripada kenalan antara kenangan pahit yang terpaksa ditempuhi Achmad Noorasyrul Noortaip, 36, sebelum bergelar usahawan berjaya.

Kini, selaku Pengasas dan Pengarah Urusan, Idolegacy Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat tempatan berpusat di Kota Kinabalu, Sabah, yang memfokuskan pembangunan sosioekonomi masyarakat, mencipta RideRunner, aplikasi Bike-Hailing yang pertama di negeri di bawah bayu itu.

Menceritakan pengalamannya ketika melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan, Sarawak, pada hujung tahun 2005, penerima Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, berkata keluarganya sangat susah dan amat bersyukur kepada PTPTN kerana diberikan bantuan pinjaman.

“Sebenarnya saya dari keluarga yang serba kekurangan dari Kota Kinabalu. Ketika mendapat tawaran belajar, saya terpaksa meminjam ke sana sini. Bila sampai di UiTM, PTPTN ada buat program untuk pelajar baharu dan saya buat permohonan pinjaman pada masa itu dan berjaya terima pinjaman tersebut.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada PTPTN sebab saya memang tiada sumber lain dan sangat susah,”katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, di sini, pada Khamis.

Achmad Norasyrul, yang menerima pinjaman sebanyak RM15,000 itu, bagaimanapun, berkata selepas tamat pengajian 2008, beliau tidak terus membuat bayaran balik namun mengambil masa beberapa tahun sebelum melangsaikan sekali gus pada tahun 2015.

“Ketika pengumuman diskaun sebanyak 20 peratus, saya terus mengambil peluang untuk bayar habis sekali gus,” katanya yang amat bersyukur dan merasakan ia merupakan salah satu pencapaian yang amat membanggakan untuk beliau serta keluarga.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Keluarga Malaysia, generasi pertama, K. Tanaletchumy, 50, yang merupakan suri rumah, beliau telah membuka dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) pada tahun 2005 dengan wang perbelanjaan yang diberikan oleh suaminya.

“Saya menabung dalam Simpan SSPN dengan permulaan RM20 untuk pendidikan tiga anak dan pada 2014 telah menggunakan duit daripada simpanan untuk pelajaran anaknya, S.Sukanthi.

“Saya amat berterima kasih kepada PTPTN kerana dengan simpanan ini saya berjaya melanjutkan pelajaran anak dan kini Sukanthi pula mengikut jejak langkah saya dengan turut menabung dalam Simpan SSPN sebagai perancangan kewangan bagi anak-anaknya yang merupakan generasi ketiga,” katanya.

Sukanthi, 30,merupakan generasi kedua yang kini berkhidmat sebagai doktor di sebuah klinik kerajaan di Tanjung Malim, Perak, pula berkata, beliau telah membuka akaun untuk anak-anaknya K.Dharrsan, 2, dan K.Jaanagan, lima bulan, masing-masing pada tahun 2020 serta 2022.

“Kita kena pilih tempat yang wajar untuk membuat simpanan dan PTPTN adalah platform yang dipercayai dan dijamin kerajaan,” katanya.

Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen MARTRADE, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain beliau turut melancarkan Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Haji Alamin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Majlis yang dianjurkan adalah bertujuan untuk menghargai segala daya usaha dan pandangan jauh PTPTN sejak mula beroperasi pada 1 Nov 1997, bersesuaian dengan fungsinya yang termaktub di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 atau Akta 566.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )