TradeTech masa depan aktiviti perdagangan, tetapi apa yang perlu kerajaan lakukan?

TradeTech masa depan aktiviti perdagangan, tetapi apa yang perlu kerajaan lakukan?

KUALA LUMPUR: Dunia kini memandang ‘TradeTech’, atau teknologi yang memudahkan perdagangan untuk memastikan sistem yang lebih efisien untuk aktiviti import dan eksport.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi definisi kepada TradeTech sebagai satu set teknologi dan inovasi yang membolehkan aktiviti perdagangan global menjadi lebih efisien, inklusif dan saksama.

Berdasarkan laporan WEF yang dihasilkan oleh Penasihat Kanan Penyelidikan Insitut Kajian Sweden, Mikael Lind, dan Rakan Kongsi, Kumpulan Anchor, Wolfgang Lehmacher, TradeTech boleh difahami melalui dua lapisan.

“Lapisan pertama adalah mengenai langkah menukar sistem dalaman serta proses berkaitan daripada teknologi analog kepada digital.

“Lapisan kedua pula, iaitu mengenai pengoptimuman proses perdagangan dan penyegerakan (synchronization) antara pelbagai pihak, kini tidak lagi mustahil, hasil kemajuan teknologi serta kesalinghubungan,” kata mereka.

Menurut laporan itu lagi, bagi membolehkan TradeTech mencapai potensi penuh untuk mewujudkan penyelesaian inovatif yang mampu mengembangkan nilai ekonomi, kemasyarakatan, dan alam sekitar, ia perlu diselaras di peringkat global.

Jelas mereka lagi, ia penting untuk menzahirkan tahap kecekapan yang lebih tinggi, dan dapat menangani risiko seperti ketidakpadanan pekerjaan serta kemudaratan terhadap alam sekitar.

Lind dan Lehmacher berkata, pemantauan secara berterusan terhadap perkembangan TradeTech dan rundingan antara pakar di peringkat nasional dan global adalah perlu untuk menghasilkan keputusan polisi yang merangkumi kesemua aspek berkaitan.

Berdasarkan pemerhatian mereka, kedua-dua pakar berkenaan memahami realiti bahawa teknologi wujud dan berkembang dengan pantas, dan polisi yang terkait perlu berevolusi selari dengan penyelesaian.

Salah satu contoh ialah bagaimana TradeTech memperkenalkan bil muatan secara digital (e-Bill of Lading), versi elektronik untuk dokumen, yang kebiasaannya berbentuk kertas untuk merekod inventori kapal kargo.

Satu lagi contoh, menurut laporan itu lagi, bagaimana penyelesaian yang dipacu teknologi dapat memudahkan perdagangan antarabangsa seeprti platform dagangan dalam talian yang telah membuka saluran jualan dan penyumberan baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk jualan e-dagang global sewaktu, semasa pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Lind dan Lehmacher berkata, sebagai sebahagian proses penyelarasan dengan pihak berkepentingan di peringkat nasional dan global, kerajaan perlu dilibatkan dalam proses konsultansi.

“Kerajaan bukan sahaja perlu memahami tahap peluang dan ancaman yang wujud bersekali dengan teknologi dan penggunaan, tetapi juga perlu mengenalpasti masa yang tepat untuk dasar yang memacu inovasi dan penerimaan, kepada dasar yang memastikan keselamatan dan keterangkuman.

“Dalam kes teknologi dan aplikasi matang, pembuat dasar boleh mengurangkan risiko melalui dasar yang dibuat dengan sokongan pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Selain itu, perangkaan dasar negara yang berkesan memerlukan penyelarasan di kalangan pihak berkepentingan dalam ekosistem,” menurut laporan itu lagi.

Lind dan Lehmacher berkata, sama ada peraturan diperlukan atau tidak, harus bersandarkan kepada hasil perbincangan dengan kumpulan pakar pelbagai pihak yang diketuai oleh pasukan inovasi kerajaan.

Dasar yang tidak tepat, menurut mereka lagi, boleh memberi kesan negatif kepada kedudukan daya saing negara, atau atau mengakibatkan pengecualian teknologi dan aplikasi yang dibangunkan secara nasional daripada menyertai pasaran global.

Aspek tersebut, kata kedua-dua pakar berkenaan, hanya boleh dikenal pasti dengan syarat pakar masing-masing dirujuk dan perjanjian antarabangsa diwujudkan.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )