Tren kargo 43 gerabak tergelincir di Tanjung Malim

Tren kargo 43 gerabak tergelincir di Tanjung Malim

TANJUNG MALIM, 4 April  — Sebuah tren kargo 43 gerabak dengan pelbagai muatan tergelincir di Stesen Kereta Api Tanjung Malim di sini pagi ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata insiden itu berlaku pada 6.55 pagi semasa tren berkenaan dalam perjalanan dari  Pelabuhan Klang, Selangor ke Ipoh.

“Tren itu membawa antaranya tekstil serta peralatan kejuruteraan. Insiden mengakibatkan satu landasan terhalang.  Kerja-kerja mengalihkan gerabak ke lokasi lebih selamat sedang giat dijalankan bagi membolehkan pembaikan landasan dilakukan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata insiden itu tidak menjejaskan perkhidmatan tren penumpang yang terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan punca kejadian masih disiasat.

“Siasatan juga telah dijalankan ke atas pemandu tren dan pembantunya,” katanya.

Beliau berkata semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )