Tribunal Bangladesh Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Bekas PM Sheikh Hasina

Tribunal Bangladesh Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Bekas PM Sheikh Hasina

DHAKA: Sebuah tribunal khas di Dhaka telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, bersama 11 individu lain yang didakwa terlibat dalam kes kehilangan paksa, menurut laporan agensi berita Xinhua.

Tribunal Jenayah Antarabangsa yang dianggotai dua hakim, diketuai Hakim Md Golam Mortuza Majumdar, mengeluarkan arahan tersebut pada Isnin.

Antara suspek yang dinamakan adalah bekas Penasihat Pertahanan Hasina, Mejar Jeneral (B) Tarique Ahmed Siddique, dan bekas Ketua Polis Bangladesh, Benazir Ahmed.

Ketua Pendakwa Raya, Tajul Islam, menyatakan bahawa pihak pendakwa telah memohon waran tangkap untuk kesemua 12 individu yang terlibat.

“Mejar Jeneral Ziaul Ahsan, yang telah dipecat dan kini dalam tahanan, akan dibawa ke muka pengadilan. Waran juga telah dikeluarkan terhadap 11 suspek lain,” katanya kepada wartawan.

Kes ini dijadualkan untuk perbicaraan seterusnya pada 12 Februari, menurut pihak pendakwa.

Media tempatan melaporkan bahawa Sheikh Hasina meninggalkan Bangladesh menuju India pada 5 Ogos 2024, selepas kerajaannya digulingkan.

Kementerian Luar Bangladesh dilaporkan telah menghantar nota diplomatik kepada New Delhi bulan lalu, meminta ekstradisi Sheikh Hasina ke Dhaka. Kementerian Hal Ehwal Luar India mengesahkan telah menerima permintaan tersebut.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )