Trump umum calon Hakim Mahkamah Agung pada Sabtu

Trump umum calon Hakim Mahkamah Agung pada Sabtu

WASHINGTON, 23 Sept — Presiden Donald Trump pada Selasa berkata beliau akan mengumumkan calon hakim Mahkamah Agung pada Sabtu di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Masa majlis pengumuman itu akan dimaklumkan kemudian, tulis Trump di Twitternya.

Trump sedang mempertimbangkan lima calon wanita untuk mengisi kekosongan berikutan kematian hakim Ruth Bader Ginsburg.

Katanya, beliau mahu melihat Senat mengundi calon itu sebelum pilihan raya presiden pada 3 November, langkah yang bertujuan untuk mengukuhkan majoriti konservatif 6-3 di mahkamah tinggi dan memberi semangat kepada penyokongnya.

Hakim Amy Coney Barrett, Barbara Lagoa dan Allison Jones Rushing dikatakan antara yang berada dalam senarai pendek Trump.

Ginsburg meninggal dunia pada minggu lalu pada usia 87 tahun akibat kanser pankreas.

Terkenal sebagai seorang yang memperjuangkan hak wanita dan ikon liberal, Ginsburg dilantik ke mahkamah tinggi oleh Presiden Bill Clinton pada 1993. Beliau wanita kedua yang dilantik menjawat jawatan itu dan berkhidmat lebih 27 tahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)