
Trump umum “perubahan menyeluruh” selepas rundingan AS-China di Switzerland
ISTANBUL,. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump (gambar) pada lewat Sabtu mengumumkan pasukannya mengadakan “pertemuan yang sangat baik” mengenai perdagangan dengan pegawai China di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau mendakwa satu “perubahan menyeluruh” dalam hubungan Amerika Syarikat-China telah dicapai.
“Pertemuan yang sangat baik hari ini dengan China di Switzerland. Banyak perkara dibincangkan, banyak yang dipersetujui. Perubahan menyeluruh dirundingkan secara mesra tetapi membina.
“Kami mahu melihat, demi kebaikan China dan Amerika Syarikat, pembukaan pasaran China kepada perniagaan Amerika. KEMAJUAN BESAR TELAH DICAPAI!!!,” tulis Trump di platform Truth Social.
Hari pertama rundingan perdagangan di Geneva itu berakhir dengan perbincangan dijadual bersambung semula pada Ahad, menurut Anadolu yang memetik laporan Wall Street Journal.
Mesyuarat bermula pada 10 pagi waktu tempatan dan disusuli rehat tengah hari sebelum berakhir sekitar 8 malam, berlangsung sekurang-kurangnya lapan jam, menurut akhbar itu.
Tiada kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat, dan butiran mengenai kandungan atau nada perbincangan tidak didedahkan.
Delegasi Amerika Syarikat diketuai Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer, manakala delegasi China diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng.
Rundingan itu diadakan di tengah-tengah usaha meredakan ketegangan perdagangan selepas peningkatan mendadak awal tahun ini apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas import dari China.
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif timbal balik sehingga 125 peratus terhadap produk tertentu dari Amerika Syarikat.
oleh BERNAMA-Anadolu