‘Tugasan berat untuk digalas’ – Misha Omar kongsi perbualan segmen ‘tribute’ dengan Siti Sarah

‘Tugasan berat untuk digalas’ – Misha Omar kongsi perbualan segmen ‘tribute’ dengan Siti Sarah

HAMPIR 10 bulan lalu, industri seni tanah air kehilangan sebutir permata yang sukar dicari ganti. Insan itu, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 selepas bertarung nyawa akibat COVID-19.

Tempoh masa yang berlalu bukan mudah bagi mereka yang mengenali Allahyarham, baik ahli keluarga, teman rapat mahupun peminat untuk melupakan penyanyi bersuara emas itu.

Rasa sama turut ‘menghantui’ penyanyi terkenal, Misha Omar yang merupakan teman rapat kepada Allahyarham Siti Sarah. Menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram hari ini, pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu berkongsi antara momen bersama sahabat baiknya, sekitar 15 tahun lalu.

Menggambarkan kenangan tersebut berlaku ketika sesi latihan sebuah acara anugerah, Misha dalam coretan itu berkata Allahyarham Siti Sarah pernah bertanyakan kepadanya sama ada segmen tribute (penghormatan) akan dibuat untuk mereka apabila tiba masanya.

Segmen tribute kebiasaannya diadakan khas kepada tokoh seni tersohor dalam pelbagai bidang yang telah meninggal dunia.
“‘Kak Chah (panggilan untuk Misha) rasa, bila sampai masa kita, ada ke segmen tribute untuk kita?’.

“Saya ketawa memandangkan kami baru setahun jagung ketika itu. Saya kata kalau kita ada banyak hits (lagu popular), InsyaAllah mesti ada. “Dia kemudiannya bertanya lagi, ‘tapi nanti, siapa yang akan nyanyi lagu-lagu kita?’,” tulis Misha dalam kemas kini tersebut.

Berkongsi lanjut, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar menjelaskan kepada Allahyarham Siti Sarah bahawa segmen tersebut selalunya akan dinyanyikan oleh artis-artis baharu yang hebat dan popular.

Anak seni kelahiran Machang, Kelantan itu menambah dia memberitahu Allahyarham kemungkinan dia akan dijemput Illahi terlebih dulu memandangkan usianya lebih tua berbanding Siti Sarah.
“Kalau Kak Chah pergi dulu, Sarah nyanyilah lagu kak Chah ok?, kata saya sambil ketawa.

“Dia jawab: ‘Ehh, tapi kalau tengok umur kita sebenarnya tak jauh kak, kalau tua-tua nanti macam mana Sarah nak nyanyi lagu Bunga Bunga Cinta? “‘Mesti kena turunkan key banyak dan nanti dah tak bunyi menyanyi tu kak, itu dah macam bercakap.’ Dia (Sarah) ketawa lagi dan kali ini lebih lama,” imbas Misha lagi.

Menerusi hantaran sama, Misha, 40, turut memuat naik video persembahan dalam segmen tribute pada Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Misha pada segmen tersebut menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Allahyarham Siti Sarah, Bersamamu dan menyifatkan tugasan tersebut amat berat untuk digalas olehnya.
“Kerana hal ini pernah saya bualkan bersama Allahyarham Siti Sarah.

“Setiap patah perkataan dalam lirik lagu Bersamamu ‘hit me differently’. Dilema perasaan antara mahu menyanyi dan menangis tiba-tiba bersatu menjadi segumpal rasa tersekat di kerongkong, yang tidak juga saya temukan perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkannya… sukar!!

“Satu pengalaman yang tak akan saya lupakan,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan genre muzik pop itu menzahirkan rasa syukur kerana impian Allahyarham Siti Sarah telah dimakbulkan. “Ada segmen tribute untuknya, yang menyanyikan lagu hits dia bukan calang-calang orangnya, Aina Abdul dan pasti dia bangga.

“Masakan tidak, saya sahabatnya hati turut berbunga mendengar alunan Aina begitu baik melalui (lagu) Ke Hujung Dunia,” tulisnya lagi. Dalam nukilan sama, Misha mengakui kehilangan akan mengajar seseorang untuk menjadi kuat walaupun dihimpit dengan kenangan.

“Kenangan pahit mahupun manis dengan seseorang yang telah pergi tetap juga akan menyiat dan menyentap jiwa,” luahnya sambil berharap agar nama Allahyarham Siti Sarah akan sentiasa berada dalam doa orang ramai.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada jam 5.13 pagi. Siti Sarah meninggalkan suami, Shuib Sepahtu dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, serta Ayash Affan.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)