Tujuh lelaki ditahan kerana terlibat dengan kegiatan curi kabel

Tujuh lelaki ditahan kerana terlibat dengan kegiatan curi kabel

PETALING JAYA, 21 April — Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah dan curi kabel dalam beberapa serbuan di sekitar Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata semua serbuan dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan yang pertama dilakukan pada 11 pagi di sebuah premis di Mutiara Damansara di sini dan menahan dua lelaki, kedua-duanya berusia 30 tahun, yang disyaki mencuri kabel di bangunan itu.

“Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku telah mencuri kabel dan menjualnya di sebuah kedai barangan lusuh di Puchong,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.

Menyentuh serbuan kedua, Nik Ezanee berkata pada 6.15 petang, polis telah menahan dua lelaki di Taman Impian Baiduri, Jalan 224 Seksyen 51a, Sungai Way di sini kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel.

Beliau berkata kedua-dua suspek berusia 27 dan 36 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah serta curi kenderaan dan seorang daripada mereka mempunyai status dikehendaki.

Nik Ezanee berkata berpandukan arah daripada kedua-dua suspek, polis telah ke sebuah premis besi buruk di Taman Desa Ria di sini dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dikenali sebagai ‘Boy’ yang dipercayai pembeli kabel curi serta merampas satu guni mengandungi wayar tembaga yang telah dibakar, tangga aluminium, pemotong wayar dan pelbagai anak kunci.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki bernama Benet.

“Hasil serbuan seterusnya, Benet berjaya ditahan oleh pihak polis bersama seorang lagi rakan jenayahnya di satu kediaman di Apartment Seri Setia, Sungai Way pada hari sama,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek berusia 31 dan 32 tahun itu masing-masing memiliki 27 dan 12 rekod jenayah lampau, antaranya berkaitan dadah.

Polis turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, tukul, mesin hampagas, minyak masak dan komputer yang dianggarkan bernilai RM300,000 dalam serbuan itu.

Ketujuh-tujuh suspek direman empat dan lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)