Tujuh projek RTB di Johor dijangka siap lebih awal pada 2027

Tujuh projek RTB di Johor dijangka siap lebih awal pada 2027

KOTA TINGGI,. Tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Johor dengan kos RM1.6 bilion mula dilaksanakan tahun ini dan dijangka disiapkan pada 2027, iaitu lebih awal daripada perancangan asal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek berkenaan dijadualkan siap pada 2029 namun ia berjaya dipercepatkan setelah mendapat komitmen daripada kontraktor terlibat.

Beliau berkata ia juga merupakan antara usaha Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentuk satu pasukan petugas bagi memastikan projek berimpak tinggi seumpama itu dipercepatkan dan tidak mengalami kelewatan.

“Banjir di Johor ini hampir setiap tahun, jadi kita tidak mahu ia berulang lebih panjang. Justeru, setelah perbincangan dibuat melibatkan semua pihak ia dapat dipercepatkan.

“Semua projek sudah bermula tahun ini dan ada yang bermula dari segi fizikal dan reka bentuk, harapan kita ia dapat disiapkan cepat kerana projek tersebut melibatkan ratusan ribu rakyat Johor yang terkesan akibat banjir,” katanya pada sidang media selepas melawat projek RTB Sungai Johor di sini pada Selasa.

Beliau berkata antara projek RTB tersebut adalah menaik taraf Sungai Muar antara pertemuan Sungai Jementah hingga pertemuan Sungai Labis dan kerja-kerja berkaitan, serta pembinaan kolam takungan banjir dan menaik taraf Sungai Johor di Kota Tinggi.

Onn Hafiz sebelum ini dilapor berkata peruntukan sebanyak RM1.6 bilion melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) itu adalah bagi penyelesaian jangka masa panjang masalah banjir di negeri itu.

Beliau berkata projek tersebut melibatkan Lembangan Sungai Muar, Segamat, Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi dan bandar Batu Pahat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )