Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat – Azmin

Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat – Azmin

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak orang Melayu khususnya bersatu dalam menentang musuh yang mempunyai agenda tersembunyi. Perkara itu dinyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui hantaran di Instagram miliknya ketika beliau dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin menziarahi Dr Mahathir dan isteri, Tun Siti Dr Hasmah Mohamad Ali pada petang Ahad.

Ujar Mohamed Azmin, pendapat itu disuarakan selepas membincangkan mengenai pelbagai isu semasa.

“Tun turut memberi pandangan kepada saya mengenai situasi politik semasa di tanah air. “Selain isu ekonomi dan kos sara hidup, Tun secara tuntas mengajak umat Melayu untuk bersatu melawan musuh yang mempunyai agenda yang tersirat.

“Lebih satu jam saya dan Shida dirai mesra dengan pelbagai juadah raya, ketupat, nasi impit, rendang ayam, rojak buah, bihun tauchu, pengat pisang dan minuman lai chi kang. “Alhamdulillah, minggu depan Tun akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-98 dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke-97.

“Syukur ALLAH SWT mengurniakan nikmat kesihatan kepada Tun berdua dan moga mereka akan terus dilindungi dan dirahmati oleh ALLAH SWT,” katanya. Azmin turut menambah, Dr Mahathir hakikatnya mempunyai kewibaan yang tinggi di peringkat antarabangsa memandangkan beliau telah menerima pelbagai jemputan program di luar negara.

Tambahnya, ia dibuktikan menerusi lawatan kerja bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ke Bosnia, United Kingdom dan Turkiye.

“Turkiye telah meminta nasihat Tun dan ingin bekerjasama dengan Tun untuk menjayakan Istanbul Summit berdasarkan pengalaman dan kejayaan memimpin KL Summit. “Sambutan yang hebat kepada Tun ketika lawatan ini membuktikan dunia masih menghormati pandangan beliau dalam pelbagai cabaran masyarakat dunia hari ini,” ujar beliau.

– Sinar Harian

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )