Tun M dan isteri terima suntikan vaksin COVID-19

Tun M dan isteri terima suntikan vaksin COVID-19

LANGKAWI,. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semlam menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 Daerah Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi.

Dr Mahathir disuntik Penyelia Jururawat Klinik Kesihatan Kuah Rosmini Che Lah manakala Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Kuah Siti Hamizah Masdar menyuntik Dr Siti Hasmah.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin itu, Dr Mahathir yang kini berusia 95 tahun berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas suntikan vaksin berkenaan.

“Suntik vaksin ini tak rasa apa pun, sekejap saja cucuk (suntik) tak sampai satu minit. Tak rasa pening apa pun, saya harap semua rakyat Malaysia terima suntikan vaksin ini kerana kita perlu melawan wabak COVID-19. Vaksin ini dapat memberi perlindungan kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata rakyat negara ini tidak perlu meragui keberkesanan dan keselamatan vaksin itu kerana ia sudah disahkan selamat dan berkesan.

“Saya dengar ada orang kurang yakin dan percaya bahawa suntikan vaksin ini akan menyebabkan penyakit lain, ia tidak benar sama sekali. Kalaulah ada kesan buruk daripada suntikan ini, di Amerika Syarikat sahaja sudah 20 juta orang yang disuntik.

“Kita tak dengar cerita pun ada orang menghadapi masalah setelah disuntik, nak pengsan atau apa-apa termasuk orang tua juga mereka boleh disuntik dalam keadaan yang selesa.

“Vaksin ini sudah ditapis dan berkesan. Saya percaya telah terlindung daripada COVID-19 selepas disuntik dengan vaksin ini, saya berasa lega boleh pergi ke mana-mana dengan selamat,” katanya.

Dr Mahathir menyeru rakyat negara ini mendaftar segera untuk menerima vaksin COVID-19 kerana ia boleh membantu kerajaan mempercepatkan proses pemberian vaksin mengikut fasa sekali gus dapat membendung penularan wabak tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mansor Ismail berkata Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor peribadi masing-masing sebelum menerima suntikan vaksin tersebut.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)