Tunku Azizah berkenan bawa hasil kraf penjara ke Yogyakarta

Tunku Azizah berkenan bawa hasil kraf penjara ke Yogyakarta

KAJANG,. Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan untuk membawa hasil produk kraftangan penghuni penjara ke Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ketujuh, di Yogyakarta, Indonesia, yang bermula hari ini.

Tunku Azizah menzahirkan hasrat itu di hadapan kira-kira 2,000 penghuni Penjara Kajang pada Konsert Koir Kebangsaan Malaysia 2019 di sini.

“Kami akan bawa hasil produk penghuni Penjara Kajang (Selangor), Penjara Marang (Terengganu), Penjara Penor serta Penjara Bentong (Pahang) untuk dipamerkan di sana (Indonesia) esok,” titah Baginda.

Tunku Azizah bertitah sedemikian sebelum berkenan menghibur penghuni Penjara Kajang dengan nyanyian lagu medley bertajuk I Will Survive (Gloria Gaynor) dan Survivor (Destiny’s Child), yang turut dinyanyikan bersama penyanyi terkenal Datuk Syafinaz Selamat dan Misha Omar.

Terdahulu, Tunku Azizah berangkat tiba pukul 4.45 petang sebelum berangkat pulang pukul 6.30 petang.

Ketibaan Baginda disambut Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Tan Sri Norliza Rofli.

Dalam pada itu, konsert yang bertemakan ‘Terapi Muzik – Doktor Hati’ itu dinyanyikan oleh pasukan Koir Kebangsaan Malaysia yang membawa lagu dari pelbagai genre bertujuan menyampaikan mesej positif dan kegembiraan kepada para penghuni penjara.

Program itu adalah program khidmat masyarakat (CSR) JKKN yang bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan imej organisasi malah untuk menceriakan kehidupan penghuni di situ.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )