Tunku Mahkota Johor persembah warkah kepada Sultan Brunei

Tunku Mahkota Johor persembah warkah kepada Sultan Brunei

JOHOR BAHRU,. Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mempersembah dua warkah kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah pada satu Majlis Menghadap di Istana Nurul Iman, Brunei dua hari lepas (Isnin).

Keberangkatan baginda selaku ketua perutusan itu adalah untuk mempersembah Warkah Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama (S.M.I.J) kepada Sultan Brunei serta Warkah Diraja Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.I) kepada Putera Mahkota Brunei.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Johor itu, turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Turut dimuat naik di laman Facebook itu ialah beberapa keping gambar yang menunjukkan Tunku Ismail berangkat dan menghadap Sultan Hassanal pada majlis itu.

Tunku Mahkota Johor mewakili Sultan Ibrahim untuk mempersembah hasrat Johor bagi menganugerahi darjah kebesaran kepada Sultan Brunei dan Putera Mahkota Brunei.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )