Turki mungkin beli Patriot daripada AS – Erdogan

Turki mungkin beli Patriot daripada AS – Erdogan

ANKARA,. Ankara akan membincangkan pembelian peluru berpandu Patriot Amerika Syarikat (AS) dalam satu pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara akhir bulan ini, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan media pada Jumaat.

“Saya kata tidak kira pakej apa… S-400 yang kami dapat, kami boleh membelinya daripada anda sejumlah Patriot,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada agensi berita Reuters dalam satu temu bual di Istanbul.

“Bagaimanapun saya katakan bahawa kami perlu menetapkan syarat-syarat bahawa ia perlu sekurang-kurangnya sepadan dengan S-400,” kata Erdogan.

Erdogan sebelum ini telah berbincang tentang pembelian Patriot dengan Presiden AS Donald Trump dalam satu perbualan telefon dan mereka akan membincangkan isu itu lebih terperinci di mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada akhir bulan ini.

“Pada pendapat saya sebuah negara seperti AS tidak lagi berhasrat untuk melukakan sekutunya Turki. Ini bukan satu perlakuan yang rasional,” kata Erdogan yang berharap bahawa hubungan peribadi beliau dengan Trump akan dapat mengatasi krisis semasa antara kedua-dua negara.

“Ini bukan satu kesalahan sebaliknya satu sistem pertahanan. Turki memerlukan satu sistem seperti itu,” kata beliau.

Sambil menegaskan bahawa Trump menyalahkan pentadbiran (Barack) Obama susulan keengganan beliau memeterai satu perjanjian dengan Turki bagi penjualan sistem peluru berpandu Patriot, Erdogan berkata “adalah mustahil untuk memikirkan bahawa ancaman sekatan itu menggambarkan realiti.”

Beliau turut mengulangi bahawa Turki akan bertindak mempertahankan dirinya jika Washington meneruskan pendirian semasanya berhubung pengecualian Turki daripada program pesawat pejuang F-35.

Menonjolkan fakta bahawa Rusia menyokong Turki dalam industri pertahanan, Erdogan menegaskan bahawa Rusia telah menawarkan untuk menjual jet pejuang Su-57 dan Su-35 kepada Turki.

Pada Julai, AS telah menggantung pembabitan Turki dalam satu program bagi pesawat pejuang F-35, dan berkata pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia oleh negara itu mampu membahayakan pesawat tersebut, dakwaan yang disangkal oleh Turki secara konsisten.

Turki mengeluarkan beberapa bahagian pesawat F-35 dan merupakan rakan kongsi program pesawat itu. Ia telah memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk menyingkirkan negara itu daripada rantaian pengeluaran akan menyebabkan semua pihak terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)