UAE bebas koronavirus, kata menteri kesihatan

UAE bebas koronavirus, kata menteri kesihatan

ABU DHABI,. Menteri Kesihatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Abdul Rahman Mohammed Al Owais berkata tiada kes jangkitan Koronavirus dikesan di negara itu, lapor Agensi Berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Semua langkah berjaga-jaga yang perlu telah diambil untuk melindungi negara itu daripada virus berkenaan, katanya semasa mesyuarat pasukan Pengurusan Bencana, Krisis dan Kecemasan Negara.

Mesyuarat itu bagi membincangkan secara terperinci mengenai langkah-langkah yang diambil untuk memastikan UAE bebas daripada serangan virus berkenaan.

Mesyuarat itu juga menekankan mengenai pentingnya persediaan rapi semua entiti berkaitan bagi menangani sebarang kemungkinan.

UAE turut menaikkan tahap berjaga-jaga di kawasan sempadan untuk memastikan sebarang perkembangan baharu dapat ditangani secara proaktif dan berkesan.

Selain itu, UAE mengikuti sebarang perkembangan mengenai wabak itu di beberapa negara lain seperti mana laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Entiti kesihatan sektor awam dan swasta turut diberi taklimat ringkas mengenai wabak berkenaan.

Al Owais berkata penting untuk memastikan laporan berita berhubung virus berkenaan diperoleh daripada sumber rasmi dan dipercayai.

Beliau berkata garis panduan bagaimana cara untuk mengelak dijangkiti wabak itu akan disebar luas kepada orang ramai menerusi pelbagai saluran media, bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat UAE.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )