Ubah dasar hartanah untuk tarik minat pembeli: Jeffrey Cheah

Ubah dasar hartanah untuk tarik minat pembeli: Jeffrey Cheah

KUALA LUMPUR, 7 Sept –Beberapa perubahan dasar perlu dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pembeli hartanah, terutamanya warga asing, menurut pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.

Cheah berkata pasaran hartanah negara berdepan situasi terlebih bina.

“Saya tidak katakan ia suatu lambakan, namun, dasar kerajaan adalah penting.

“Jika saya bertanggungjawab, saya akan mengubah beberapa dasar untuk menjadikannya lebih menarik khususnya kepada warga asing,” katanya ketika ditemubual dalam program Managing Asia CNBC yang dihoskan Christine Tan.

Cheah berkata perubahan dasar akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dengan Singapura. “Singapura merupakan lokasi menarik. Anda tahu anda memiliki kepimpinan yang baik, anda mempunyai kerajaan yang baik, anda mempunyai undang-undang yang baik, namun, negara ini merupakan pulau yang kecil dan terlalu mahal.

“Di sini, kita mempunyai semuanya, namun, jika kita dapat menguruskannya dengan baik, lebih banyak syarikat multinasional,” katanya. Cheah berkata kesukaran mendapatkan pembiayaan turut menyebabkan pembeli tidak meneruskan pembelian.

“Namun, ahli perbankan adalah ahli perbankan, anda tahu, dalam keadaan baik, mereka akan memberikan anda wang. Dalam situasi kurang baik, ia akan menjadi amat sukar. “Ini adalah mengenai pembiayaan dan pembiayaan akhir mungkin menyebabkan pembeli tidak jadi membeli,” kata beliau.

Mengenai pengembangan kumpulan Sunway, beliau menegaskan ini merupakan masa yang sesuai untuk meneroka pasaran United Kingdom (UK) berikutan ketidaktentuan terhadap langkah Brexit. “UK merupakan pusat kewangan dunia sejak sekian lama. Jadi, kami masih mencari peluang baik.

“Kami telah membeli menerusi sebuah dana yang kami mempunyai kawalan ke atasnya, 97 hartanah, yang mana kesemua penyewa daripada kerajaan British. Ia menghasilkan pulangan munasabah,” katanya.
Kumpulan Sunway juga bercadang membeli tiga bangunan di Bristol dan Sheffield untuk penginapan pelajar.

“Penginapan pelajar adalah perancangan kami. Anda bayangkan (Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak menyukai warga Cina di AS. Terdapat kira-kira 500,000 pelajar. “Jika mereka tidak dialu-alukan, mereka akan ke tempat lain. Di mana lagi mereka akan pergi Sudah pasti ke UK. “Daripada segi pendidikan, UK antara yang menawarkan pendidikan terbaik,” katanya.

Beliau juga yakin, China merupakan pasaran terbesar bagi kumpulan Sunway. “Ketika zaman saya dahulu, ayah saya berkata, jika awak tidak ke sekolah Inggeris, awak tidak akan mendapat pekerjaan. Jadi, saya tidak belajar di sekolah Cina, saya ke sekolah Inggeris.

“Jika saya menghabiskan enam tahun di sekolah Cina, pada hari ini pelaburan saya di China pastinya besar, lebih besar kerana saya ke sana pada 1990… Adalah suatu kekurangan, terutamanya jika kita tidak memahami bahasa itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )