UEFA: Format baharu Liga Juara-Juara akan diperkenalkan dari 2024

UEFA: Format baharu Liga Juara-Juara akan diperkenalkan dari 2024

MONTREUX: Badan induk bola sepak Eropah (UEFA), mengesahkan bahawa format baharu Liga Juara-Juara akan diperkenalkan dari 2024 dengan pertambahan jumlah kelab di pusingan pertama dari 32 kepada 36 pasukan, walaupun pengumuman awal bahawa 12 kelab terbesar di Eropah merancang satu kejohanan berasingan iaitu Liga Super Eropah.

Format baharu – yang akan menyaksikan semua 36 pasukan diletakkan dalam satu kumpulan yang sama berbanding sistem semasa kumpulan terdiri empat pasukan – diluluskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif UEFA di Switzerland.

Tiada pengumuman lanjut dibuat bagaimana empat slot tambahan akan layak selain dari satu tempat akan diberikan kepada liga yang berada pada ranking kelima di Eropah, iaitu Perancis ketika ini.

Pengumuman ini dibuat beberapa jam selepas berita pengumuman penubuhan Liga Super yang mendapat kritikan dari presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

“Saya mahu menjelaskan bahawa semua orang bersatu menentang cadangan yang memalukan, pentingkan diri dan diselubungi ketamakan,” kata Ceferin.

“Kita semua bersatu membantah projek tidak masuk akal ini. Pelan yang bercanggah dengan apa yang sepatutnya tentang bola sepak. Kami tidak dapat dan tidak akan membenarkan ia berubah.”

Format baharu Liga Juara-Juara akan mengikuti apa yang dipanggil “Sistem Swiss”, yang lebih biasa dikaitkan dengan sukan catur, di mana kelab-kelab dipecahkan ke dalam empat kumpulan melibatkan sembilan pasukan untuk undian berdasarkan pekali UEFA.

Pasukan akan bermain menentang 10 pasukan berbeza, dengan lima perlawanan di tempat sendiri dan lawan.

Pada akhir fasa ini, lapan pasukan teratas akan layak ke pusingan 16 akhir, dengan 12 pasukan tercorot akan tersingkir.

Sementara itu, pasukan yang menamatkan kedudukan di tempat kesembilan dan 24 akan bermain dua perlawanan playoff, dengan mereka di tangga kesembilan dan 16 akan menentang pasukan menamatkan saingan dari tangga ke-17 hingga 24.

Juara perlawanan itu akan melengkapkan senarai pasukan 16 akhir, dengan pasukan yang kalah akan beraksi dalam Liga Europa.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )