UiTM sahkan seorang pelajarnya positif COVID-19

UiTM sahkan seorang pelajarnya positif COVID-19

KUALA LUMPUR,. Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah pelajar universiti tersebut yang sedang menerima rawatan akibat penularan wabak itu ialah tiga orang.

Naib Canselor UITM Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata pelajar itu, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, telah dijangkiti melalui ayahnya yang disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata bapa pelajar itu mendapat jangkitan daripada kontak iaitu saudaranya yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling di sini.

Katanya pelajar itu telah menghadiri kuliah pada 15 Mac lepas dan apabila disahkan positif COVID-19, beliau telah memaklumkan keadaan dirinya yang dijangkiti kepada pensyarah.

“Sehubungan itu, pihak UiTM melalui Pusat Gerakan COVID-19 dan Pusat Kesihatan UiTM telah memaklumkan keadaan pelajar tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azraai berkata kontak rapat pelajar itu telah dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka menjalani saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

Selain itu, pihak UiTM telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kelas serta kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak virus tersebut tersebar.

“Semua pelajar dan staf tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana UiTM telah mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang sepatutnya.

“Mereka juga telah disarankan untuk mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan UiTM dan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )