UK harap Malaysia sebahagian daripada negara pulihara 30 peratus bumi

UK harap Malaysia sebahagian daripada negara pulihara 30 peratus bumi

KUALA LUMPUR,. United Kingdom (UK) berharap Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada sasaran melindungi 30 peratus daripada Bumi, meliputi darat dan laut menjelang 2030 (juga dikenali sebagai 30 by 30), kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.

Beliau berkata UK bersama 100 negara lain menetapkan sasaran baharu sebanyak 30 peratus hingga 2030 untuk diterima pakai pada rundingan biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir tahun ini.

Hay berkata Malaysia komited untuk mengambil tindakan berani bagi menangani perubahan iklim melalui Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) negara yang dipertingkatkan dan komitmen baharunya untuk mencapai neutraliti karbon.

“Penghujung tahun ini, lebih 100 negara akan berhimpun untuk membangunkan matlamat global baharu mengenai biodiversiti dalam rangka kerja yang akan dilaksanakan sepanjang dekad akan datang, dengan tujuan memperkenalkan bumi yang sihat dan kesejahteraan manusia.

“Itu sangat penting bagi Malaysia kerana menjadi antara negara yang paling mega-diverse di bumi ini, dan kita perlu mempunyai iltizam yang tinggi dalam bidang ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Korporat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bertajuk “Memacu Kelestarian dan Transformasi Mampan” semalam.

Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) dan Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Mengenai sumbangan Malaysia kepada Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP26), Hay berkata negara itu telah mengesahkan Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah yang berjuang menghenti penebangan hutan dan mengubahnya, serta Ikrar Metana Global, menetapkan matlamat bersama untuk mengurangkan pelepasan gas metana global sebanyak 30 peratus sebelum 2030.

Beliau juga menambah bahawa UK akan terus menyokong Malaysia dalam perjalanan peralihan iklimnya dan pembangunan strategi tindakan iklim jangka panjang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)