UKM FC, JDT ii bakal berentap pada final Piala Cabaran
KUALA LUMPUR,. Wakil Liga Premier, UKM FC menepati ramalan mara ke final Piala Cabaran dengan agregate 7-1 seelepas Sarawak dengan agregat 6-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching, Ahad lalu, UKM FC meraih kemenangan 1-0.
Skuad UKM FC, bimbingan Sulaiman Hussin, akan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di pentas final dalam aksi timbal balik pada 5 dan 10 Okt ini.
Pada aksi di Cheras, Mohd Hafizi Amiruddin meledak jaringan pembukaan seawal minit keempat perlawanan, sebelum beliau menggandakan kedudukan untuk UKM FC, selang tiga minit kemudian.
Penyerang import dari Croatia, Mateo Roskam menambah derita pasukan Sarawak menerusi dua jaringan pada minit ke-23 dan minit ke-31, sebelum Sarawak berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi sentuhan penyudah pemain tengah, Mohamad Alif Hassan pada minit ke-36.
Penyerang import dari Iran, Milad Zanidpour, bagaimanapun, melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah dengan dua lagi gol, masing-masing pada minit ke-51 dan minit ke-74.
Dalam pada itu, JDT II mengesahkan tenpat di final apabila menewaskan juara bertahan,Terengganu FC II (TFC II) menerusi agregrate 4-2 semalam.
Final pertama akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, manakala final kedua bakal diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Sebagai rekod, TFC II muncul juara edisi sulung Piala Cabaran pada musim lepas selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas UKM FC pada aksi final yang menggunakan format timbal balik.
— BERNAMA