UKM terima Anugerah Majikan Prihatin Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan CUEPACS 2023

UKM terima Anugerah Majikan Prihatin Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan CUEPACS 2023

KUALA LUMPUR,. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah Majikan Prihatin Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan CUEPACS sempena Hari Pekerja 2023 yang disambut pada Isnin

UKM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan anugerah itu disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Zulkapli Mohamed kepada Naib Canselor UKM Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman pada majlis sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya semalam.

Mohd Ekhwan berkata anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan dan menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja UKM untuk terus menjalankan tugas dengan penuh iltizam dan dedikasi.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk menyantuni dan memenuhi keperluan semua pekerja agar wujud budaya kerja positif yang akan meningkatkan prestasi pekerja,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Mohd Ekhwan, pihaknya telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara dalam aspek kemajuan kerjaya, pengiktirafan perkhidmatan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta sumbangan bantuan.

Sebagai contoh, Mohd Ekhwan berkata UKM telah berjaya mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia bagi menaik taraf anggota keselamatan universiti itu kepada Polis Bantuan UKM dan inisiatif itu telah membuka sebanyak 106 perjawatan baharu.

“Selain itu, UKM turut memperkenalkan kenaikan pangkat khas untuk penyandang dalaman supayasetiap staf memiliki peluang yang lebih tinggi untuk dinaikkan pangkat,” katanya.

Beliau berkata UKM juga prihatin terhadap kebajikan staf menerusi kerjasama erat dengan persatuandan kesatuan staf seperti Kesatuan Kakitangan UKM, Persatuan Kakitangan Akademik UKM,Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Pembantu Tadbir dan Operasi dan Persatuan Pesara UKM.

Katanya antara program lain anjuran UKM ialah Perkhidmatan Perubatan dan Amalan Gaya Hidup Sihat Staf UKM yang menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma selain tidak meminggirkan kebajikan staf dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata UKM juga sentiasa menjadi tulang belakang dalam membantu kerajaanmenyantuni warga kerja universiti yang memerlukan antaranya inisiatif Menu Rahmah dengan tawaran hidangan lengkap pada harga serendah RM5 untuk dinikmati seluruh warga universiti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )