UMNO Seremban nafi desak Ahmad Zahid letak jawatan

UMNO Seremban nafi desak Ahmad Zahid letak jawatan

SEREMBAN, 25 Jan — UMNO Seremban hari ini menafikan bahagian tersebut mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Ketuanya, Mustafa Salim berkata tindakan pemasangan kain rentang yang digantung di sebuah kawasan di Sikamat di sini, kononnya, daripada bahagian itu yang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan merupakan provokasi pihak tertentu.

“Perbuatan itu tidak beretika dan merupakan provokasi pihak tertentu yang ingin melaga-lagakan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan Pusat demi kepentingan politik masing-masing.

“UMNO Bahagian Seremban berpendirian tegas menjunjung dan mendukung Perlembagaan UMNO dan institusi Presiden dan mempertahankannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Sikamat berhubung perkara tersebut tengah hari tadi.

Dalam kenyataan berasingan, UMNO Perak menyifatkan desakan terbuka daripada beberapa pihak agar Ahmad Zahid meletak jawatan telah melanggar peradaban, tidak beretika dan tidak bermaruah.

Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata UMNO merupakan sebuah parti perjuangan bertunjangkan dan berasaskan kepada agama Islam dan bangsa Melayu yang sentiasa menjaga budi pekerti dan adab susila, justeru, ahlinya wajar menghormati institusi presiden yang dipilih melalui Perhimpunan Agung.

“Tindakan mendesak ini didorong oleh kepentingan diri, dendam dan tidak bertanggungjawab menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan dan membangkitkan kegelisahan dalam kalangan ahli parti di akar umbi.

“Sewajarnya pada masa ini kita mesti bersatu hati, bantu-membantu serta memperkukuh dan memperkasa institusi presiden untuk menunjukkan kematangan serta perpaduan jitu kepada rakyat untuk diberi ruang dan peluang agar kembali memimpin dan menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan kain rentang di beberapa tempat UMNO Bahagian di Perak untuk mendesak presiden UMNO meletak jawatan.

— BERNAMA /DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )