Undang-undang tingkat penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial akan dibangun

KUALA LUMPUR,. Isu penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial, peluang pendidikan kanak-kanak dan persediaan menghadapi negara tua, antara perkara diberi tumpuan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan semalam menyatakan mesyuarat secara sidang video pada Isnin itu, bersetuju agar satu undang-undang mewajibkan penyimpanan data pelanggan seragam oleh penyedia perkhidmatan internet, akan dibangunkan bagi meningkatkan penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial.

“Mesyuarat itu juga membangkitkan mengenai keperluan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak, termasuklah kanak-kanak di sekolah pemulihan dan juga banduan muda yang sedang menjalani hukuman.

“MSN turut bersetuju untuk tindakan yang berkaitan dengan pindaan Seksyen 77 (3) Akta Kanak-kanak 2001, dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai banduan muda di Sekolah Henry Gurney, mendapat peluang pembelajaran yang lebih holistik,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut dimaklumkan, berkaitan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dikurangkan dalam kalangan pekerja asing.

Menurut kenyataan itu mesyuarat juga menyentuh isu persediaan Malaysia ke arah Negara Tua pada tahun 2030, berdasarkan unjuran peratusan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas, yang akan mencecah 15.3 peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan pegawai kanan kementerian, serta agensi terlibat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )