UNICEF sediakan peralatan perlindungan perubatan bagi kegunaan di lokasi pemvaksinan Libya

UNICEF sediakan peralatan perlindungan perubatan bagi kegunaan di lokasi pemvaksinan Libya

TRIPOLI,. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis berkata ia telah menyediakan peralatan perlindungan perubatan untuk tempat pemvaksinan dan kemudahan kesihatan di Libya dalam usaha memastikan kesinambungan jadual imunisasi kanak-kanak tempatan, lapor agensi berita Xinhua.

“Selepas kemunculan pandemik COVID-19, vaksinasi di Libya dihentikan pada Mac 2020. Ini disebabkan kurangnya kesediaan dan ketiadaan peralatan pelindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan pembersih di tempat vaksinasi ,” Kata UNICEF dalam satu kenyataan.

“Bagi memastikan kesinambungan Program Perlanjutan untuk Imunisasi yang kritikal, UNICEF mendapatkan PPE untuk kemudahan kesihatan dan tempat vaksinasi yang disasarkan,” kata kenyataan itu.

UNICEF akan mengadakan mesyuarat dan membangunkan rancangan bersama-sama Pusat Kawalan Penyakit Nasional Libya untuk penyediaan pelitup muka dan pembersih bagi manfaat 700 pusat vaksinasi di seluruh Libya, jumlah yang diharapkan mencukupi bagi tempoh empat bulan, katanya.

UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini menyatakan keprihatinannya terhadap kekurangan vaksin yang teruk untuk kanak-kanak di Libya, mendesak pihak berkuasa tempatan agar segera mendapatkan pelepasan dana untuk mengisi bekalan vaksin di negara itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )