UniKL pertahan Piala Sumbangsih

UniKL pertahan Piala Sumbangsih

KUALA LUMPUR,. Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenanginya musim lepas setelah menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti shootout.

Terdahulu, kedua-dua pasukan pilihan utama saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 itu terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kedua-dua pasukan yang mempunyai peluang menerusi pukulan sudut penalti yang diperolehi masing-masing tiga untuk UniKL dan empat untuk TNB, bagaimanapun gagal diterjemahkan kepada jaringan gol oleh para pemain.

Aksi TNB dilihat lebih meyakinkan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti pada minit terakhir suku pertama perlawanan namun disia-siakan begitu sahaja.

Pasukan TNB yang dilihat lebih garang hampir berada di hadapan pada minit ke-40 namun cubaan Shahril Saabah dibatalkan kerana melakukan pukulan back stick.

Ketika penentuan pukulan penalti shootout, kedua-dua pasukan tetap juga terikat 3-3 menerusi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Muhammad Marhan Mohd Jalil and Harvinder Singh dari pasukan UniKL serta Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Norsyafiq Sumantri dan Muhammad Firhan Ashari dari TNB yang mengheret kepada penentuan sudden death.

Muhammad Marhan muncul wira UniKL apabila menyempurnakan pukulan shootout terakhir pada perlawanan yang menyaksikan Piala Sumbangsih kekal milik juara treble musim lepas itu.

Sementara itu, ketua jurulatih UniKL Megat Azrafiq Termizi berkata biarpun pasukannya berjaya mengekalkan Piala Sumbangsih malam ini, namun anak buahnya perlu meningkatkan lagi prestasi mereka dalam perlawanan berikutnya.

“Dari segi persembahan, tempo itu agak tinggi, kita agak bergelut dari segi serangan tapi segi pertahanan baik.

Banyak serangan TNB berjaya kita patahkan tapi untuk perlawanan seterusnya saya harap kita dapat bersedia dan perbaiki kerana tidak boleh gugurkan mata lagi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )