UniKL rampas kedudukan pendahulu MHL

UniKL rampas kedudukan pendahulu MHL

KUALA LUMPUR,. Juara Piala Sumbangsih, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Maybank pada aksi divisyen premier Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Tengku Abdullah di Bangi, dekat sini, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj merampas kedudukan teratas daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sekadar mencatat keputusan seri di laman sendiri.

Pada aksi di Bangi, penyerang kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang kembali memperkuatkan UniKL setelah menjalani pembedahan rahang baru-baru ini, membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah hasil gol padang pada minit ke-12.

Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini terpaksa berehat beberapa minggu susulan kecederaan rahang yang dialaminya ketika membantu UniKL menewaskan Hockademy KL dengan kemenangan 3-1 pada 12 Jan lepas.

Gol kedua UniKL hadir pada minit ke-15 menerusi jaringan padang Faridzul Afiq Mohd, namun Maybank berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi gol pemain kebangsaan, Meor Muhammad Azuan Hasan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

Pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim meledak gol ketiga untuk UniKL menerusi pukulan penalti pada minit ke-47, sebelum Muhammad Nur Asyraf Ishak menjaringkan gol kedua untuk Maybank pada minit ke-59.

Pemain import dari Belanda, Roel Franciscus Jacobus Bovendeert mengesahkan tiga mata untuk UniKL setelah menjaringkan gol keempat pada minit ke-60.

“Maybank berikan tentangan yang cukup hebat kepada kami, dan mereka bermain dengan begitu baik sekali, tetapi hari ini kami dapat manfaatkan peluang yang diperoleh.

“Kehadiran semula Tengku Ahmad Tajuddin berikan semangat luar biasa kepada UniKL, dan saya gembira dia dapat temui sentuhan jaringan,” jelas Arul Selvaraj.

Dalam pada itu, TNB turun satu anak tangga ke kedudukan kedua liga setelah seri 1-1 dengan pasukan bawahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di padang satu Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

UiTM terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-19, sebelum Muhamad Aminudin Mohd Zain menyamakan kedudukan untuk TNB hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

Naib juara Piala Sumbangsih, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pula meraih kemenangan bergaya setelah membelasah Hockademy KL dengan keputusan 6-0 di padang dua Stadium Hoki Nasional.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun muncul wira THT apabila meledak jaringan hatrik pada minit kesembilan, minit ke-49 dan minit ke-58, selain tiga lagi gol masing-masing menerusi Muhammad Sufi Ismat Mrrohulamin (minit ke-10), Faizal Saari (minit ke-14) dan Jung Manjae pada minit ke-39.

Sementara itu, dua pasukan tercorot, Nurinsafi dan TNB Thunderbolts meraih satu mata sulung pada musim ini setelah seri 3-3 pada aksi di Stadium Hoki Sungai Petani, Kedah.

Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Norhafizie Jamil Azomi seawal minit keempat, Syed Sibtain Raza Naqvi (minit ke-38) dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-31, manakala tiga gol pasukan TNB Thunderbolts disumbangkan oleh Muhammad Syawal Abd Razak (minit ke-10), Izzuan Ismail (minit ke-12), serta Mohamad Syazwan Syafiq Basir pada minit ke-37.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)