Unimas teraju tulang belakang kemajuan negeri Sarawak

Unimas teraju tulang belakang kemajuan negeri Sarawak

KUCHING,. Kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah memperkasakan ekonomi digital yang menjadi dasar utama pembangunan ekonomi Sarawak sejak 2017, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dalam hal ini, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), yang merupakan antara teraju tulang belakang kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Sarawak Negeri Maju menjelang 2030, diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan (CoE).

CoE, selaku penggerak utama untuk membolehkan aktiviti pembangunan penyelidikan dan teknologi dilaksanakan secara holistik bagi menyokong sektor ekonomi digital, yang perlu mempunyai asas yang kukuh dan berkekalan dari segi pembangunan bakat serta sumber manusia.

“Pembangunan teknologi berasaskan kepada empat bidang ilmu utama termasuk sains dan matematik. Oleh itu, sistem pendidikan kita hendaklah memberi penekanan kepada subjek Sains, Teknologi, Engineering (Kejuruteraan) dan Matematik atau STEM,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen Unimas kali ke-23 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata sehingga kini makmal terbuka STEM telah dilaksanakan di empat bahagian iaitu di Kuching, Limbang, Lawas dan Saratok, yang berperanan untuk meneroka serta melakukan penyelidikan ke atas pola digital baharu untuk menyokong kerancakan pembangunan ekonomi digital di Sarawak.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 4,038 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )