Untung bersih TIME dotCom merosot kepada RM65.95 juta pada suku ketiga
KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih TIME dotCom Bhd (TIME) pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020, merosot kepada RM65.95 juta daripada RM82.99 juta dicatatkan pada suku tahun sama tahun lepas.
Perolehan, bagaimanapun, meningkat 11.3 peratus kepada RM309.55 juta daripada RM278.16 juta sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
TIME berkata peningkatan perolehan itu sebahagian besarnya berikutan pendapatan data berulang yang lebih tinggi, yang naik RM26.6 juta (atau 11.8 peratus) dan pendapatan pusat data, yang meningkat RM4.5 juta (atau 13.0 peratus).
Katanya semua kumpulan pelanggan teras turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan berulang tahun ke tahun yang kukuh dengan sumbangan pertumbuhan terbesar dilihat daripada pelanggan runcit dan borong.
Mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata ia tetap teguh dalam komitmennya untuk memastikan ketersediaan dan kestabilan rangkaian 100 peratus sepanjang tempoh mencabar ini bagi negara.
“Dalam jangka sederhana, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada menyokong kerajaan Malaysia untuk mencapai matlamat telekomunikasi nasionalnya dengan mengukuhkan dan menambah baik infrastruktur rangkaian fiber domestik sedia adanya, dan pada masa sama meningkatkan usaha untuk memperluaskan liputannya ke seluruh negara.
“Kumpulan akan turut berusaha untuk meningkatkan bahagian pasaran dengan memberikan pengalaman rangkaian kualiti yang cepat, dipercayai dan tiada tandingannya pada harga yang kompetitif, dan dengan memahami dan memberikan penyelesaian dan perkhidmatan yang bermakna kepada semua pelanggannya,” katanya.
Di peringkat serantau, TIME akan terus bekerjasama dengan rakan kongsinya di Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk memberi tumpuan kepada memanfaatkan permintaan yang meningkat terhadap kesalinghubungan rentas sempadan di rantau ini.
— BERNAMA