Untung bersih UEM Edgenta susut kepada RM11.16 juta pada suku pertama

Untung bersih UEM Edgenta susut kepada RM11.16 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih UEM Edgenta Bhd merosot kepada RM11.16 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020 berbanding RM32.66 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan susut kepada RM501.87 juta berbanding RM515.88 juta sebelum ini berikutan cabaran yang dihadapi kesemua segmen, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu memberitahu perolehan Pengurusan Aset pada suku pertama 2020 merosot RM0.7 juta berbanding suku pertama 2019, terutamanya disebabkan oleh projek pengurusan perbandaran yang dihentikan pada tahun sebelumnya oleh bahagian Penyelesaian Hartanah dan Kemudahan.

Ini diimbangi oleh peningkatan perolehan daripada bahagian Sokongan Penjagaan Kesihatan (HS) menerusi pertambahan kerja-kerja sokongan bahagian itu di Singapura dan Taiwan, selain ditampung oleh sumbangan operasi yang lebih rendah di Malaysia.

Perolehan daripada perniagaan Penyelesaian Infrastruktur pula jatuh RM13.3 juta berikutan kerja-kerja perundingan yang berkurangan bagi projek Malaysia Timur oleh bahagian Perundingan Aset, manakala bahagian Perkhidmatan Infrastrukturnya turut mencatat perolehan yang lebih rendah, disebabkan kerja-kerja pengurusan trafik dan penyelenggaraan rutin lebuh raya dan projek rel yang berkurangan.

Pengerusinya Tan Sri Dr Azmil Khalid dalam kenyataan hari ini berkata syarikat itu berhati-hati dalam unjurannya pada tahun itu disokong oleh peningkatan kos operasi perkhidmatan dan kesan yang berterusan akibat pandemik COVID-19.

“Pengurusan syarikat akan terus berjaga-jaga dan proaktif dalam melindungi margin kami dan menguruskan risiko dalam persekitaran operasi semasa, sambil mengambil langkah-langkah bijak untuk terus memperkenalkan inisiatif kecemerlangan operasi.

“Kepantasan dan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi sejak sekian lama adalah penting untuk memberikan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan tanpa gangguan di barisan hadapan, bersama-sama pelanggan kami di hospital kerajaan dan swasta di seluruh rantau ini,” katanya.

Azmil berkata selain perkhidmatan HS, UEM Edgenta akan terus menjalankan kerja-kerja penyelenggaran lebuh raya dan bangunan serta operasi sanitasi dan nyahkuman kepada pelanggan sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

Bahagian HS menyokong barisan hadapan secara aktif dalam usaha berkaitan pandemik COVID-19 di seluruh rantau ini dengan memberikan perkhidmatan kepada lebih 300 hospital di Malaysia, Singapura, Taiwan dan India.

Dari sudut positif, dalam tempoh ini, segmen HS memperoleh kontrak baharu daripada Sengkang General Hospital dan Changi General Hospital di Singapura.

Sehingga 31 Mac, 2020 lembaran imbangan UEM Edgenta kekal baik dengan nisbah tahap kadar hutang kasar yang rendah sebanyak 0.3 kali, kedudukan tunai bersih yang kukuh dan baki bank berjumlah RM513.8 juta.

Syarikat itu membayar dividen akhir sebanyak lapan sen pada 14 Mei, 2020 untuk separuh kedua tahun kewangan 2019.

Dengan pengisytiharan dividen interim sebanyak enam sen sesaham sebelum ini bagi enam bulan pertama 2019, ia menyumbang kepada 5.4 peratus hasil berdasarkan penutupan harga saham sebanyak RM2.58 setakat 26 Feb, 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )