UPSI ucap tahniah KP Kesihatan diiktiraf CGTN antara doktor terbaik dunia

UPSI ucap tahniah KP Kesihatan diiktiraf CGTN antara doktor terbaik dunia

KUALA LUMPUR,. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merakam ucapan tahniah atas pemilihan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) dalam menangani krisis COVID-19.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menzahirkan penghargaan tersebut kepada Dr Noor Hisham atas kewibawaan beliau yang menjadi insan kebanggaan Malaysia dalam usaha kementerian mengekang pandemik COVID-19 di negara ini.

“Dr Noor Hisham yang mengetuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2013 itu sewajarnya menerima pujian seluruh rakyat Malaysia kerana sentiasa mengemas kini maklumat terkini perkembangan COVID-19 di media massa dan media sosial berdasarkan fakta dan statistik sehingga lewat malam serta di luar waktu kerja rasmi,” menurut kenyataan itu.

Dr Noor Hisham dilaporkan sebagai antara tiga doktor terulung di peringkat global dalam menentang COVID-19 dengan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ dalam menyampaikan maklumat dan fakta untuk orang ramai mengenai pandemik tersebut.

UPSI terharu dan terhutang budi dengan kesungguhan warga KKM serta semua anggota barisan hadapan yang berpenat lelah bagi memastikan negara bebas daripada wabak tersebut dalam apa juga keadaan.

Seluruh masyarakat juga disaran agar terus memberi kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mengeluarkan perkataan kesat atau menyusahkan anggota di barisan hadapan serta terus berdoa agar tugas mereka dipermudahkan dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )