
Urusan Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (Prk) Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu -SPR
1. Urusan penamaan calon bagi PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor telah dijalankan hari ini bermula pukul 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi.
2. Sejurus tamatnya tempoh tersebut, sebanyak empat (4) kertas penamaan telah dikemukakan oleh calon-calon yang akan bertanding dalam PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor. Senarai nama calon mengikut cabutan undi seperti berikut:
1. Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional),
2. Pang Sock Tao (Pakatan Harapan),
3. Nyau Ke Xin (Bebas)
4. Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
3. Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei 2024 (Jumaat).
4. SPR telah menubuhkan sebanyak dua (2) Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.
5. Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang / simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan / komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
6. Semua kaedah dan bahan kempen adalah DIBENARKAN selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti
keagamaan termasuk menyentuh isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan.
7. Lambang/simbol/bendera parti politik calon yang bertanding termasuklah lambang/simbol/bendera parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding tersebut dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya calon tersebut bertanding (tertakluk kepada pengisytiharan yang dibuat Pegawai Pengurus pada Hari Penamaan Calon).
8. Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/ pakatan pada bahan kempen pilihan raya.
9. Gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuklah gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon/parti politik
tersebut bertanding. Pemimpin yang dimaksudkan adalah individu-
individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan/komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi.
10. SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan- peraturan yang ditetapkan.
11. SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.
12. Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI ABDUL GHANI SALLEH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia 27 April 2024 / 18 Syawal 1445H