Ustaz Ebit Lew bawa misi kemanusiaan bantu rakyat Palestin

Ustaz Ebit Lew bawa misi kemanusiaan bantu rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mengadakan misi bantuan kemanusiaan untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel di Gaza.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar dalam satu kenyataan, berkata pendakwah berkenaan ke Mesir untuk misi berkenaan bermula 25 hingga 30 Mei.

Katanya, misi itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.

“Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir. “Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya dalam kenyataan malam Selasa.

Tambah Kamaruddin, biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ebit sendiri, namun pihaknya menasihatkan mereka supaya sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra. “Saya telah menasihati delegasi Ustaz Ebit Lew agar sentiasa berhubung, bekerjasama rapat dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. “Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memuji usaha pendakwah itu dan delegasinya. “Alhamdullillah, usaha yang sangat mulia daripada Ustaz Ebit Lew, demi saudara mara kita di Palestin. Saya secara peribadi amat berterima kasih atas usaha ini.

“Moga Allah SWT lindungi ustaz dan delegasi sepanjang di Mesir. Insya-Allah perwakilan Malaysia di Kaherah akan bantu apa yang boleh,” jelas Hishammuddin menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Terdahulu, Kamaruddin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Ebit pada Selasa untuk memaklumkan mengenai misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang akan dijalankan dari 25 hingga 30 Mei 2021.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )