Utamakan tingkat kemahiran, latihan semula untuk pupuk tenaga kerja mampan – Sivakumar

Utamakan tingkat kemahiran, latihan semula untuk pupuk tenaga kerja mampan – Sivakumar

KUALA LUMPUR,. Para majikan digesa supaya mengutamakan usaha peningkatan kemahiran dan melatih semula kemahiran sumber manusia, bagi memupuk tenaga kerja yang dinamik, mampan dan berdaya tahan.

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar yang membuat gesaan itu berkata, usaha berkenaan merupakan pelaburan strategik yang akan memperkasa bakat dan organisasi, untuk bukan sahaja mengemudi, tetapi untuk berkembang maju dalam landskap ekonomi dan teknologi yang berubah-ubah.

“Adalah menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk memperjuangkan usaha ini, memastikan bakat dan urusan kita dipersiapkan dengan baik dan diposisikan untuk berjaya dalam menghadapi perubahan pesat.

“Namun yang lebih penting adalah untuk kita faham di mana dan bagaimana kita boleh menutup jurang struktur,” katanya dalam ucaptama pada program Makan Tengah Hari Rangkaian Pemimpin HR di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan cita-cita Kerajaan Perpaduan melalui rangka kerja Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan modal insan.

Sivakumar berkata, pelbagai rancangan berkaitan modal insan sedang digerakkan terutamanya dengan Bajet MADANI 2024 yang menggariskan peruntukan besar untuk pendidikan dan pembangunan kemahiran, yang disifatkan beliau sebagai pelaburan untuk mewujudkan kumpulan bakat Malaysia berkemahiran tinggi.

“Justeru, semua jabatan dan agensi kementerian mempunyai tanggungjawab besar untuk mempromosi dan memacu program yang memberi impak positif kepada tenaga kerja kita,” katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan Laporan Bengkel Kerjasama Industri-Academia (IAC) yang Berfokuskan Sektor TalentCorp, Jilid 1.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Sivakumar berkata, laporan itu menghimpunkan dapatan serta perincian daripada 10 bengkel AIC melibatkan pemain industri dan pakar-pakar dalam beberapa sektor utama negara.

Antaranya sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pelancongan, Animasi & Permainan; Elektrik dan Elektronik ; Perubatan dan Penjagaan Kesihatan; Barang Pengguna Laris (FMCG); Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Bioteknologi.

“Dapatan laporan Ini membolehkan kerajaan untuk mengumpul perspektif yang pelbagai semasa membentuk dasar. Dapatan dari laporan ini penting untuk membantu kerajaan untuk memahami implikasi sesebuah polisi dan menggubal dasar yang lebin berkesan, praktikal, dan kondusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)