UTeM sasar kutip RM5 juta jual nombor plat eksklusif

MELAKA,. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyasarkan kutipan RM5 juta menerusi penjualan nombor pendaftaran kenderaan eksklusif UTeM secara bidaan dalam tempoh tiga tahun, bermula esok.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata lima kategori nombor kenderaan eksklusif iaitu ‘bronze, silver, gold, diamond’ dan platinum akan dibuka untuk bidaan bermula pada harga RM450 hingga RM30,000.

Beliau berkata bidaan fasa pertama akan melibatkan kategori ‘bronze’ dan ‘silver’ bermula pada pukul 12 tengah hari esok dan berakhir pada 12 tengah hari, 14 Dis depan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan telah meluluskan nombor pendaftaran 1 hingga 9999 dan akronim UTEM adalah sepenuhnya berhuruf besar.

“Rebat RM100 akan diberikan kepada kakitangan, pelajar, alumni dan pesara UTeM yang berjaya dalam bidaan nombor pendaftaran itu dan rebat itu hanya layak untuk satu nombor bagi setiap orang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakluman Pembukaan Bidaan Nombor Plat Eksklusif UTeM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Raha berkata proses penjualan nombor pendaftaran kenderaan itu dilakukan menerusi sistem ebida.utem.edu.my yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman universiti itu.

Beliau berkata penjualan nombor plat kenderaan itu bertujuan menjana pendapatan UTeM di samping mengurangkan beban kewangan universiti itu, khususnya menambah peruntukan dana atau geran penyelidikan dan pembangunan.

Katanya selain itu, inisiatif berkenaan merupakan salah satu medium untuk mempromosikan UTeM dan menaikkan imej universiti di pelbagai peringkat masyarakat.

“Nombor pendaftaran kenderaan eksklusif ini juga merupakan nilai sentimental kepada warga UTeM yang telah bersama universiti ini dalam keadaan susah dan senang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )