UTP catat sejarah pasukan pertama dari Malaysia muncul naib johan Petrobowl Dunia

IPOH,. Persatuan Jurutera Petroleum (SPE) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mencatat sejarah apabila muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia dan rantau Asia Pasifik merangkul naib juara pada Kejohanan PetroBowl Dunia 2020.

UTP, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pasukannya yang terdiri daripada Abdul Haziq Abdul Yazid, Low Han Lun, Felicia Lam Gui Fang, Cheah Jason dan Lim Yi Jie, juga meraih naib johan bagi Kelayakan PetroBowl Rantau Asia Pasifik 2020 (PetroBowl APRQ).

Pertandingan PetroBowl yang dianjurkan SPE untuk pasukan cawangan penuntut SPE bersaing dalam pertandingan kuiz pantas itu meliputi aspek teknikal dan bukan teknikal industri minyak dan gas, dengan tahun ini berlangsung secara maya berikutan pandemik COVID-19.

Dalam Kejohanan PetroBowl Dunia 2020, UTP bertemu juara dunia tiga kali PetroBowl, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat (AS), dengan keputusan 30-20 dalam persaingan sengit pusingan pertama sebelum berdepan King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) dari Arab Saudi (70-50) untuk ke suku akhir buat pertama kali dalam sejarahnya.

UTP terus mara ke final dengan mengetepikan University of Uyo, Nigeria, dalam suku akhir dan Fakulti Kejuruteraan Petroleum, University of Zulia, Venezuela, dalam separuh akhir sebelum menentang juara dunia PetroBowl tiga kali, Oklahama University (OU), AS.

Selepas berhempas pulas dalam dua pusingan kuiz semasa final, UTP akhirnya terpaksa menerima hakikat perjuangan berakhir tetapi telah memberikan saingan yang sukar dilupakan lawan.

Kapten pasukan UTP Abdul Haziq memuji dan menghargai rakan sepasukan walaupun gagal melepasi rintangan akhir.

“Kami sangat teruja dan bangga di atas pencapaian ini. Kami sesungguhnya telah membuktikan bahawa kami berbeza dari yang lain dan sebagai lawan yang segani dengan menewaskan beberapa pasukan terbaik dalam laluan ke final.

“Perbezaan waktu tentu memberi kesan kepada kami kerana suku akhir bermula pada 8 malam (waktu Malaysia), diikuti dengan separuh akhir dan kemudian final pada 5 pagi keesokan harinya. Kami kurang tidur kerana perlu berjaga sepanjang malam untuk bersiap sedia ke final.

“OU juga mempunyai kelebihan berbanding kami kerana salah seorang anggota pasukan mereka adalah calon PhD dan berjaya mengetuai pasukannya pada 2016. Walaupun markah keseluruhan tidak menyebelahi kami namun kami berjaya mengalahkan OU pada pusingan kedua final,” kata Abdul Haziq.

Sejak mengambil bahagian pertama kali di PetroBowl pada 2017, UTP telah membuktikan sebagai pesaing yang hebat dalam pertandingan peringkat penuntut dunia dalam bidang kejuruteraan petroleum.

Kecemerlangan ini adalah hasil kekuatan program kejuruteraan petroleum UTP (yang kini berada di kedudukan ke-21 di dunia oleh Quacquarelli Symonds).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )