Vaksin China dapat pujian PM Hungary

Vaksin China dapat pujian PM Hungary

BEIJING,. Vaksin keluaran China akan membantu Hungary mendahului negara Kesatuan Eropah (EU) lain dalam program pemvaksinan, kata Perdana Menteri Hungary Viktor Orban.

“Kami akan mula menggunakan vaksin China tidak lama lagi. Semua penduduk yang berdaftar dijangka diberi suntikan menjelang Hari Easter bulan depan,” ujarnya dalam satu temu ramah pada Jumaat.

Beliau juga bersedia diberi suntikan vaksin China.

Menurut Orban, daripada populasi Hungary berjumlah 10 juta, setakat ini hampir 2.5 juta sudah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Pada Sidang Kemuncak China-Negara Eropah Tengah dan Timur (CEECs) pada 9 Februari, beliau memuji kesungguhan saintis China dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin.

Beliau turut mengesahkan laporan dihasilkan institusi negaranya bahawa vaksin China sangat meyakinkan.

Institut Farmasi dan Pemakanan Nasional Hungary (NIPN) meluluskan penggunaan vaksin keluaran Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm) pada hujung bulan lalu, menjadikannya negara EU pertama berbuat demikian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )