Vaksin COVID-19 diluluskan NPRA, rakyat tak perlu khuatir

KANGAR,. Rakyat tidak perlu khuatir mengenai apa juga jenama vaksin COVID-19 yang akan digunakan dalam program imunisasi di negara ini kerana semuanya sudah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin,.
Perdana Menteri berkata semua vaksin yang diuji untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu sudah disahkan selamat dan berkesan oleh badan berkenaan.

“Ini semua (vaksin) yang dah dipakai dah diluluskan dan saya yakin bila (suntikan) dilaksanakan dengan teratur dan tersusun oleh jawatankuasa pengurusan vaksinasi yang dah kita jalankan sekarang, ia akan beri banyak kelebihan.

“Maknanya kalau (kes) COVID-19 turun sebab dah ramai menerima suntikan (vaksin), antara kesannya ialah ekonomi akan cepat dipulihkan dan beri faedah kepada rakyat sebab ada pekerjaan, pendapatan, perniagaan berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Negeri Perlis, di Klinik Kesihatan Kampung Gial, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat agar tidak melengahkan pendaftaran di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin walaupun terpaksa menunggu giliran dalam tempoh yang lama.

“Ini penting bagi negara kerana kita mahu supaya di peringkat awal ini, sekurangnya 60 peratus rakyat dah suntik vaksin untuk kita capai imuniti kelompok, tapi sasaran kita nak sampai 80 peratus penduduk divaksin.

“Kalau dah divaksin mungkin akan dapat kemudahan perjalanan, kalau dah selesai suntik boleh la pergi mana-mana… untuk perjalanan ke luar negara pun mungkin akan diminta rekod vaksinasi,” kata Muhyiddin.

Mengenai permohonan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) supaya ahli farmasi menjadi sebahagian penerima vaksin dalam Fasa Satu PICK, beliau berkata perkara itu boleh dirujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ada yang menuntut suntikan lebih awal sebab kedudukan mereka berhadapan dengan masyarakat dan ancaman atau dianggap sebagai frontliner (petugas barisan hadapan)… Apa-apa pun semua mereka akan dapat, kena sabar juga, akan sampai masa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )