Varane yakin Man United miliki skuad lakar kejayaan

Varane yakin Man United miliki skuad lakar kejayaan

RAPHAEL Varane yakin Manchester United memiliki skuad untuk berjaya di sebalik beberapa keputusan yang mengejutkan baru-baru ini. Dua minggu lalu menyaksikan United tewas dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Young Boys dan tersingkir daripada saingan Piala EFL bertemu West Ham sebelum satu lagi kekalahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Aston Villa di Old Trafford.

Jangkaan yang diletakkan kepada United bagi 2021-22 cukup tinggi selepas pemenang Piala Dunia, Varane, menyertai pasukan dari Real Madrid, sementara sasaran jangka masa panjang, Jadon Sancho, turut tiba dari Borussia Dortmund dan Cristiano Ronaldo kembali pulang ke United dari Juventus.

Tekanan kembali kepada pengurus Ole Gunnar Solskjaer yang bertemu Villarreal awal pagi esok, tetapi Varane tidak terlalu bimbang dengan perkara yang diperlukan untuk berjaya bersama kelab.
“Apa yang saya dapat lihat ialah, dengan rakan sepasukan saya, terdapat banyak kualiti dalam skuad kami,” kata Varane.

“Kami mempunyai potensi besar, saya yakin dalam hal itu.

“Kami bekerja sangat keras, kami bekerja dengan baik dalam latihan dan mempamerkan peningkatan sepanjang masa. Sejak awal musim, saya fikir kami berada pada tahap positif dan menaik.
“Ada bakat dan ada pengalaman. Kami mempunyai semua yang diperlukan untuk mempunyai kepercayaan bahawa anda boleh melakukannya dengan baik.”

-Arena

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)