VTL melalui udara diperluaskan antara Pulau Pinang-Singapura mulai 16 Mac

VTL melalui udara diperluaskan antara Pulau Pinang-Singapura mulai 16 Mac

PUTRAJAYA,. Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Singapura diperluaskan dengan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Pulau Pinang-Singapura bermula 16 Mac.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan bersama untuk memperluaskan inisiatif VTL itu.

“Inisiatif VTL ini akan membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan ulang alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di bawah VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan,” katanya.

Wee berkata VTL Pulau Pinang-Singapura akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan di Malaysia dan Singapura.

“Penjualan tiket penerbangan udara VTL akan bermula dalam masa terdekat,” katanya.

VTL yang pertama bagi laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula pada 29 Nov tahun lepas. Ia telah memberi perkhidmatan kepada 82,906 pengembara yang tiba dari Singapura setakat 28 Feb 2022.

Wee berkata inisiatif VTL memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ketersambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura di samping membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara terutamanya dalam sektor pelancongan yang telah terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

Butiran lanjut mengenai syarat prapelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my. Butiran tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)