Wajib vaksin pastikan kelancaran, kesihatan jemaah haji

Wajib vaksin pastikan kelancaran, kesihatan jemaah haji

KUALA LUMPUR,. Pengumuman kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 bagi seluruh bakal jemaah haji tahun ini bertujuan memastikan kesihatan jemaah berada dalam keadaan yang terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ia juga menzahirkan komitmen Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan bagi kelancaran ibadah haji tahun ini.

“Malaysia menyambut baik (pengumuman itu). Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi ini turut mengambil maklum berkenaan keperluan bakal jemaah haji Malaysia untuk mengambil vaksin COVID-19 sebelum menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Bagi urusan vaksinasi bakal jemaah haji Malaysia, saya masih menunggu maklum balas daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh bin Tahir Benten berkenaan jumlah kuota jemaah haji daripada Malaysia yang dibenarkan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata beliau akan sentiasa berkomunikasi dengan Dr Mohammed Saleh bagi memastikan sebarang keputusan ditetapkan kerajaan Arab Saudi berkaitan kuota jemaah haji atau tatacara prosedur operasi standard (SOP) bagi urusan ibadah haji pada tahun ini.

“Saya menyeru umat Islam di Malaysia untuk berdoa kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 beransur pulih dan seterusnya membolehkan ibadah haji dijalankan dengan lebih lancar pada tahun ini,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )